Pandikar Amin 'menyatukan' penduduk Sarawak - Dato Peter Minos






Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memperkecilkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mencabar Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mencetus kemarahan di negeri ini, dan secara tidak langsung menyatukan penduduk Sarawak tanpa mengira bangsa atau politik, kata Penganalisa politik, Dato Peter Minos.


Beliau berkata, perkara itu jelas kelihatan apabila parti-parti politik sama ada dari komponen Barisan Nasional, mahupun pembangkang, individu-individu dan ramai lagi tampil ke hadapan dan mencerca Pandikar Amin secara terbuka.

Parti-parti itu termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu (UPP), Parti Progresif Demokratik (PDP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru.

"Ia adalah kemarahan tulen semua orang Sarawak terhadap seseorang (Pandikar Amin) yang tidak menunjukkan penghormatan terhadap Sarawak atau Ketua Menterinya.

"Ia adalah kuat dan jelas, tidak berpura-pura dan bukan diada-adakan. Ia lebih buruk secara peribadi," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Minos berkata, tindakan Pandikar Amin ibarat menjolok sarang tebuan di Sarawak, dan untuk itu, adalah lebih baik jika beliau berundur.

"Namun saya perlu mengatakan ini kepada beliau, terima kasih kerana secara tidak sengaja dan tidak langsung menyatukan penduduk Sarawak untuk membangkitkan 'Semangat Sarawak' untuk mara mempertahankan dan menyokong pemimpin tertinggi mereka, Ketua Menteri Abang Johari,"katanya.

Di sebalik semua itu katanya, ia membangkitkan "Semangat Sarawak", iaitu keinginan tulen dan aspirasi bagi penduduk Sarawak untuk dilayan sama rata dan adil seperti rakyat di Semenanjung Malaysia.

Menurut Minos, kini ramai penduduk Sarawak mula mengetahui dan menyedari hak-hak mereka serta boleh membandingkan banyak perkara antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia dan oleh itu, mula menuntut hak-hak di bawah MA63, iaitu dana lebih banyak untuk negeri, selain hasil pendapatan lebih tinggi daripada minyak dan gas.

"Sebagai anak jati Sarawak, saya katakan apa yang rakan-rakan dari Sarawak minta dan perjuangkan adalah sangat adil dan sah, untuk itu, ia perlu ditangani oleh Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan), walau apa pun orang kata.

"Perasaan sebenar dan tulen serta aspirasi penduduk Sarawak tidak boleh diketepikan atau diabaikan mahupun diambil ringan," katanya lagi.

Minos berkata, bagaimanapun perlu dijelaskan penduduk Sarawak, sebagai rakyat Malaysia, menghormati dan mencintai negara ini dan perkara itu tidak boleh dipersoalkan.

"Apa yang berlaku sekarang adalah penduduk Sarawak, sebagai rakyat Malaysia, mahukan keadilan dan kesaksamaan serta penghormatan, pemahaman dan penghargaan, itu sahaja.

"Fakta juga amat jelas, bahawa Sarawak adalah sangat jauh ketinggalan dalam semua aspek dan bidang jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia," katanya.
Borneopost

Facebook Comment