Mahathir Gelar Mufti Kafir Sebab Tak Tegur Hadi

Mahathir Mohamad mendakwa amanat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah punca berlakunya tragedi berdarah Memali.

Pada masa sama, bekas perdana menteri itu menempelak sikap mufti yang membisu ketika ‘Amanat Hadi’ dikeluarkan semasa peristiwa itu berlaku.

“Mufti kafir sebab mufti tidak tegur PAS ketika Amanat Hadi dikeluarkan. Mufti pun bukan orang PAS, jadi mufti pun kafir.

“Saya harap mufti juga kena bertanggungjawab terhadap peristiwa Memali kerana tidak berani bercakap tentang Amanat Hadi,” tegasnya.

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menamakan mufti berkenaan.

Mengimbas kembali tragedi yang berlaku pada November 1985 itu, Pengerusi Pakatan Harapan itu menyifatkan ‘Amanat Hadi’ berjaya meracuni penyokongnya menjadi taksub dengan dakyah orang Islam lain sebagai kafir sehingga menyebabkan empat orang anggota Polis terbunuh.

Beliau berkata demikian pada ucapan pergulungan di Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Shah Alam, Sabtu.

Justeru, Dr Mahathir mendakwa Hadi adalah orang yang perlu bertanggungjawab sehingga berlakunya tragedi berdarah tersebut yang didakwa memperalatkan Islam untuk kepentingan peribadi dan PAS.

Sebelum ini, PAS meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah Memali, pada 19 November 1985 yang mengorbankan 18 orang, termasuk empat anggota polis, berpuluh cedera dan penahanan beratus ahli parti itu.

Sesi pergulungan itu juga dilihat telah dipergunakan Dr Mahathir untuk melepaskan geram terhadap PAS susulan tindakan parti itu yang mengambil pendekatan mesra UMNO dan memutuskan tidak menyertai PH pada PRU ke-14 nanti.



Author:

Facebook Comment