#KE7B: Sejuk Melampau, Qobin Hadapi Sedikit Kesukaran Misi Kutub Selatan


KUALA LUMPUR: Penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin dilaporkan telah semakin menghampiri separuh penjelajahan dalam misi berski menuju ke titik 90 darjah Kutub Selatan, semalam.
Namun, menurut satu entri dalam akaun Facebook Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mokhles, Qobin dilaporkan menghadapi sedikit kesukaran untuk ekspedisi kali ini ekoran keadaan cuaca sejuk yang melampau.
“Beliau memaklumkan bahawa ekspedisi yang dilaluinya kali ini agak sukar. Malah kerana cuaca sejuk yang melampau iaitu sehingga-26 darjah celsius, telah menyebabkan dua jari tangan kirinya mengalami kebas berpanjangan dan tidak boleh merasa apa-apa,” tulis beliau menerusi posting berkenaan, hari ini.

Menurut Akmar lagi, beberapa penjelajah lain turut dilaporkan gagal menamatkan ekspedisi berkenaan dan terpaksa diselamatkan kerana mengalami kebas tangan yang berpanjangan.

“Qobin memaklumkan beberapa penjelajah dari kumpulan lain terpaksa diselamatkan dan gagal menamatkan penjelajahan berski mereka di Kutub Selatan kerana mengalami kebas tangan yang berpanjangan dan dibimbangi mengalami gigitan fros.

“Dalam perbualan singkat tersebut, saya minta Qobin terus untuk bertahan dan melakukan rawatan segera ke atas tangan bagi mengelakkan berlakunya gigitan fros,” ujarnya.

Sehubungan itu, Akmar menyeru orang ramai untuk bersama-sama berdoa agar keadaan jari Qobin kembali pulih sekaligus membolehkan beliau meneruskan penjelajahan yang dijangka boleh tamat dalam tempoh dua setengah hari sahaja lagi. – MYNEWSHUB.CC/AM

Facebook Comment