RCI FOREX: Wujud Asas Mengesyorkan PDRM Melaksanakan Siasatan Rasmi


Wujud asas untuk mengesyorkan Polis Diraja Malaysia melaksanakan siasatan rasmi kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dan penipuan dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamed selaku Perdana Menteri ketika urus niaga mata wang asing (forex) sekitar tahun 1990-an.

Menurut Laporan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri ketika itu dan tanggungjawab menguruskan negara adalah terletak pada barisan Kabinet pimpinannya.

"Walapun beliau menafikannya, suruhanjaya berpendapat bahawa siasatan menyeluruh perlu dijalankan untuk menentukan sejauh mana pembabitan dan liabiliti IW24 (Perdana Menteri) dalam perkara ini," menurut laporan itu.

Suruhanjaya juga berpendapat wujud asas untuk mengesyorkan PDRM melaksanakan siasatan rasmi atas kemungkinan kesalahan pecah amanah dan/atau penipuan turut dilakukan pegawai BNM, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Menteri Kewangan yang ketika itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin (14 Julai 1984-15 Mac 1991).

Laporan itu turut menyatakan, selepas mengambil kira perkara dan sifat teliti Perdana Menteri, adalah tidak dapat diterima kemungkinan beliau tidak mempedulikan masalah dihadapi BNM, tidak mempersoalkan atau tidak pernah dimaklumkan berkenaan masalah berhubung urus niaga forex dan kerugian besar BNM sebelum dimaklumkan bekas Pengurus Akaun BNM, Aziz @ Abdul Aziz Abdul Manaf dan Tan Sri Clifford Francis Herbert (IW14).

"Sebagaimana dinyatakan IW14, beliau menjangkakan IW24 akan marah tetapi reaksinya agak normal. IW14 mendakwa bahawa IW24 menyatakan `sometimes we make profit, sometimes we make losses'.

"Reaksi dan penerimaannya terhadap kerugian forex yang besar menunjukkan bahawa beliau mungkin mengetahui mengenai urus niaga forex dan maknitudnya.

"Dakwaan IW24 yang beliau hanya dapat mengingati kerugian forex berjumlah RM5 bilion apabila dimaklumkan mengenainya semasa perbincangan bersama IW21 (Anwar) dan IW14 pada akhir tahun 1993 adalah sesuatu yang dipersoalkan.

"IW21 dan IW14 sangat konsisten dalam testimoni mereka bahawa kerugian urus niaga forex adalah kira-kira RM30 bilion," menurut laporan itu.

Siasatan juga mendapati, dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau hanya dimaklumkan mengenai kerugian forex sebanyak RM5.7 bilion oleh Anwar dan Francis Herbert pada akhir 1993 tidak mungkin benar.




Author:

Facebook Comment