Putrajaya janji tak akan naikkan GST lepas PRU14


PUTRAJAYA tidak akan menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Othman Aziz hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji atau menaikkan GST yang kini pada kadar 6%.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan lagi kadar GST daripada enam peratus, walaupun selepas PRU,” kata Ahli Parlimen Jerlun itu di Dewan Rakyat hari ini.

"Mungkin sesetengah pihak yang mencadangkan (kenaikan) ada sebab tertentu,” tambahnya.

Othman menjawab soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang memintanya mengesahkan sama ada Bank Dunia ada mencadangkan Malaysia menaikkan GST kepada kadar tujuh peratus.

“Saya sendiri pun tidak membacanya dan saya tak pasti (akan cadangan itu).

“Mungkin ada cadangan...Tetapi kita kekal dengan enam peratus," katanya.

Putrajaya memperkenalkan GST pada April 2014.

Pembangkang mengkritik tindakan kerajaan memperkenalkan GST kerana dikatakan menyebabkan peningkatan kos kehidupan.

Dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan (2018), mereka mencadangkan agar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikembalikan untuk menggantikan GST. – 29 November, 2017.

The Malaysian Insight

Facebook Comment