Pasukan Khas Negeri MA63 sedia jumpa PM dalam waktu terdekat — Abang Jo




KUCHING: Pasukan Khas Negeri (PKN) bagi isu penurunan kuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mempunyai kuasa lebih tinggi melibatkan rundingan perlembagaan berbanding Jawatankuasa Teknikal Penurunan Kuasa.

Justeru, tidak timbul pertindihan peranan pasukan khas dengan jawatankuasa teknikal yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman selaku pengerusi bersama.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata PKN sedia berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam waktu terdekat dan membuat membuat pengumuman selepas rundingan tersebut.

Abang Johari berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-20 Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 17 November lepas, Abang Johari berkata Sarawak sedia membincangkan isu hak dan autonomi dengan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau menteri kanan yang berkuasa.

Penubuhan PKN diluluskan pada Sidang DUN dianggotai Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada Sidang DUN 9 November, PKN diluluskan melalui usul MA63 oleh Uggah dengan sokongan Masing.

Ahli DUN sebulat suara menyokong undian usul berkenaan selepas pembahasan 10 ADUN dari kerajaan dan pembangkang. – Sarawakvoice

Facebook Comment