Kerajaan Selangor tidak bantu peneroka FELDA Soeharto

Dalam pada pembangkang mendesak FELDA supaya membuat pelbagai kemajuan di dalam agensi itu serta membantu peneroka, mereka sendiri gagal untuk memberi bantuan kepada peneroka FELDA.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim sebagai contoh FELDA pernah membuat permohonan untuk membina rumah di FELDA Soeharto di Selangor tetapi mereka tidak membenarkan.

Ketidakbenaran kerajaan negeri Selangor itu adalah dengan alasan mereka sendiri yang ingin membangunkan rumah untuk peneroka FELDA, tetapi masih tidak dibina sehinggalah ke hari ini.

“Kelulusan untuk membina rumah diberi kerajaan negeri kerana berkaitan cukai dan sebagainya, kita pernah umum nak buat rumah di Soeharto tapi kerajaan negeri tak bagi, (mereka) kata nak buatkan tetapi sampai hari ini tak dibuat, kerajaan negeri perlu bantu sebab ini (peneroka) juga rakyat mereka,” katanya dalam program Ruang Bicara RTM di Parlimen, Rabu.

Prrogram bertajuk Bicara Bajet 2018 itu disertai Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli dan Datuk Dahlan Maamur turut bertindak sebagai moderator.

FELDA sebelum ini telah memohon pelupusan secara Pemberimilikan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara seluas 14.65 hektar di Mukim Hulu Bernam, Daerah Hulu Selangor bagi tapak projek pembinaan perumahan itu.

Namun projek yang melibatkan 200 unit rumah di atas tapak seluas 12 hektar itu tidak mendapat kelulusan kerajaan Negeri Selangor disebabkan sikap tidak mahu mengutamakan rakyat selain bersifat politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah meluahkan rasa kecewa di atas sikap kerajaan Negeri Selangor yang tidak mahu menyediakan kediaman yang lebih selesa dan murah kepada rakyat.

Mengulas perkembangan isu sama di kawasan FELDA lain, Razali berkata ia sudah menunjukkan kemajuan apabila FELDA telah membina rumah di beberapa buah negeri dengan persetujuan kerajaan di Pahang, Johor dan Perak.

Jelasnya lagi setakat ini juga terdapat 10 ribu pemohon untuk membina rumah kedua di tapak rumah asal peneroka.

Susulan itu, Rafizi ketika ditanya Dahlan adakah beliau akan memanjangkan isu ini kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, beliau akan berjumpa dengan pihak kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian.

“Isu tanah adalah isu paling meruncing di Selangor, dalam Pakatan Harapan juga kita bincang tentang kuasa kerajaan negeri, kalau ada usahasama dengan pihak lain sama ada kerajaan pusat atau swasta ia perlu dipercepatkan, cuma dalam senario politik sekarang tak mudah.

“Ia perlu disepakati oleh orang politik, kita akan semak dengan kerajaan negeri (Selangor),” ujarnya. - BNBBC.my




Author:

Facebook Comment