Forest City: Bila Masa Johor Gadai Tanah? Titah Sultan Iskandar

Projek Forest City tidak menggadaikan tanah Johor, sebaliknya menjadi pemangkin pembangunan pesat negeri, titah Sultan Johor.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjelaskan bahawa projek berkenaan mempunyai lokasi zon antarabangsa bagi pembeli dari luar negara serta mengekalkan hak milik serta rizab tanah Melayu.

Menurutnya lagi, pelabur antarabangsa dimaksudkan bukan semata-mata dari China, sebaliknya 40 peratus adalah pelabur tempatan, termasuk pihak kerajaan sendiri yang turut mempunyai saham.

“Bila masa Johor gadai tanah? Gadai apa maknanya? Dengan adanya Forest City, maka Johor bertambah besar. Bukan ambil tanah pergi gadai.

“Tanah di negeri Johor ini ada zon, iaitu zon antarabangsa yang bermakna orang luar boleh beli. Status dia antarabangsa. Di Forest City, kita tak jual tanah, kita jual strata dan strata itu hak milik kekal tanah negeri Johor,” lapor Berita Harian.

Pembangunan Forest City dikritik oleh pembangkang yang mendakwa kerajaan menjual kedaulatan kepada luar apabila menerima pelaburan daripada China.

Pada masa sama, baginda bertitah, projek itu juga bukan sahaja memberi banyak pendapatan kepada kerajaan negeri, tetapi menyebabkan harga tanah di kawasan tersebut meningkat berbanding sebelum ini seperti di daerah Pontian.

“Harga tanah berhampiran Forest City semua meningkat. Dulu orang Pontian petik duku saja. Sekarang orang Pontian sudah ada bawa Mercedes Benz. Maknanya, Pontian adalah satu daerah yang akan maju, pesta,” kata Sultan Ibrahim lagi.


Author:

Facebook Comment