Ambiga Dicabar Dedah Sumber 1MDB Dengan 2 Pihak

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk S Ambiga, dicabar mendedahkan sumbernya mengenai dakwaan berkaitan hubungan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan dua lagi pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata langkah itu perlu dilaksana bagi memastikan setiap tuduhan yang dibuat selama ini bersandarkan fakta, berbanding sekadar omong kosong demi mengelirukan rakyat.

“Bertahun lamanya kita tanya berulang kali kepada Clare Rewcastle-Brown (Pengarang Sarawak Report) mengenai sumber yang digunakan dalam siri penerbitan penulisan menerusi blog beliau.

“Kita bertanya kerana nak jalankan siasatan menyeluruh terhadap semua pertuduhan yang dilemparkan terhadap 1MDB, namun beliau berkeras untuk tidak dedahkan sumbernya.

“Tiba-tiba, beliau menamakan Ambiga sebagai sumber selepas diberi tekanan ketika sesi pertanyaan yang berlangsung di mahkamah,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau mengulas pengakuan Rewcastle-Brown bahawa menerusi pertemuan pada Julai tahun lalu, Ambiga memaklumkan kepadanya mengenai butiran penyaluran dana 1MDB antara PAS dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu, perkara lain yang dimaklumkan Ambiga adalah hubungan Najib dan PAS, termasuk dakwaan persetujuan kewangan berjumlah RM90 juta antara kedua-dua pihak serta motif di sebaliknya.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) bagaimanapun menyuarakan keyakinan Ambiga akan terus berdiam diri, tanpa mendedahkan sumber atau fakta bagi menyokong dakwaannya selama ini.

“Beliau tidak akan sesekali dedahkan kerana kita tahu ia (penyaluran dana 1MDB kepada PAS) palsu, malah sebab itu juga Hadi Awang (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bawa perkara ini ke mahkamah.

“Ustaz Hadi buat tindakan sedemikian kerana tuduhan seperti ini membabitkan reputasinya sebagai pemimpin, justeru saya menyangkal sebarang kemungkinan Ambiga akan tunjukkan bukti dan sumber beliau.

“Episod penipuan ini sudah cukup membuktikan bagaimana Rewcasltle-Brown menggunakan Ambiga, manakala Ambiga kemukakan sumber tidak rasmi bagi menampakkan setiap artikel dipaparkan Sarawak Report seperti berpaksikan fakta.

“Cara Rewcasltle-Brown menulis artikelnya sebelum ini pun seolah-olah cuba beri gambaran bahawa kesahihan setiap fakta yang terkandung didalamnya tidak mungkin dipersoalkan, namun kebenaran terjelma apabila beliau berdepan tekanan daripada mahkamah,” katanya.


Author:

Facebook Comment