Orang Sarawak Bukan 'Paloi' -Abg Jo



Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg menegaskan bahawa rakyat Sarawak bukan bodoh dan dapat diperdaya oleh pembangkang termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.“Biar kami tentukan masa depan kami. Orang Sarawak bukan ‘paloi,” katanya menggunakan dialek Melayu Sarawak yang bermaksud bodoh.

Ketua Menteri menjawab soalan seorang peserta Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAK) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  tentang kunjungan pertama Tun Mahathir ke Sarawak dua minggu lalu. Sekitar 5,000 orang anak Sarawak hadir dalam majlis itu.

Katanya, rakyat Sarawak mempunyai prinsip dan mahu pemimpin politik yang dapat menunaikan janji dan projek pembangunan.

Beliau membidas bekas Perdana Menteri itu kerana bekerjasama dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang dikritik dan diberinya pelbagai label.

Mahathir pernah menyatakan DAP anti-Melayu dan cauvinis.

Abang Johari berkata Kerajaan Negeri pernah meminta supaya jalan raya pesisiran dibina di Sarawak tetapi tidak ditunaikan Tun Mahathir.

“Dalam pemerintahannya 22 tahun, pernah kita minta bantuan daripada kerajaan pusat untuk bangunkan negeri kerana kita kekurangan peruntukan.

Kita nak minta jalan raya pesisir dibangunkan. Kita dah ada jalan bukit yang ada sekarang, kita rasa kita juga perlukan jalan pesisir. Tunggu punya tunggu sampai tapi tetap tak ada jawapan untuk bangunkan jalan pesisir. Tak ada peruntukan. Kenapa? kita tak tahu,” katanya.

Bercakap dalam tiga bahasa – bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan dialek Melayu Sarawak dalam sesi ‘townhall’ itu, Sarawak katanya akan terus berunding dengan kerajaan persekutuan berkaitan haknya yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, Perdana Menteri telah mengotakan janjinya melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Projek lebuh raya sepanjang 2,325 km itu yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum 2013, telah mula dilaksanakan.

Facebook Comment