Bukan Dua Tapi Lima Mangsa Cikgu Pedofil Di Serian


KUCHING: Bukan dua tetapi lima murid yang menjadi mangsa seorang guru pedofil bernafsu songsang di Serian dengan kesemua mereka berusia di antara 10 hingga 12 tahun.

Guru terbabit, Lai Chee Chiang, 37 tahun yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Sungai Menyan di Serian berhadapan 14 pertuduhan pagi tadi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuching, Shafiza Abdul Razak namun enggan mengaku salah.

Shafiza kemudian menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Chee Chiang yang berasal dari Batu Kawa, sebelum ini direman tujuh hari selepas ditahan sekitar jam 3 petang pada 2 Oktober lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Serian.

Kes dilaporkan oleh keluarga mangsa kepada pihak polis selepas aduan kepada pengurusan sekolah tidak diambil tindakan.

Selepas dua mangsa membuat laporan awal, terdapat tiga lagi mangsa tampil, kesemuanya lelaki membuat laporan serupa, dengan ada mangsa mengalami gangguan seksual berulang kali.

Lapan daripada kes ini disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta yang sama.

Manakala bakinya dituduh di bawah Seksyen 377(e) Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah seksual di luar tabii.

Sabit kesalahan, kes-kes ini memperuntukkan hukuman penjara di antara lima sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara menunggu tarikh perbicaraan, tertuduh akan ditempatkan Penjara Pusat Kuching di Puncak Borneo

Facebook Comment