Agong Terima Laporan RCI Skandal Forex BNM

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menerima laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an di Istana Negara, di sini hari ini.

Laporan itu dipersembahkan kepada Seri Paduka oleh Pengerusi RCI berkenaan, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Panel lima anggota RCI yang diketuai Mohd. Sidek telah bersidang selama lapan hari mulai 21 Ogos hingga 19 September lalu selepas memanggil 25 saksi untuk memberi keterangan.

Antara saksi berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Suruhanjaya itu yang ditubuhkan pada 15 Julai lalu dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

BNM dilaporkan mengalami kerugian AS$10 bilion (RM44 bilion) dalam urus niaga perdagangan mata wang sekitar 1990-an.

Suruhanjaya itu ditugaskan menyelidiki dakwaan mengenai kerugian urusniaga forex yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

Skandal forex berlaku pada akhir 1980-an dan awal 1990-an ketika Tun Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.






Author:

Facebook Comment