Jelajah BN Selangor Jumpa Rakyat Minggu Depan

Dalam usaha menawan kembali Selangor, Barisan Nasional (BN) negeri akan bergerak ke semua daerah menerusi program ‘Jelajah Kasih Negeriku’ bagi memberikan penerangan membabitkan isu tempatan dan nasional kepada rakyat.

Ketua Penerangannya, Mohamad Satim Diman berkata jelajah yang berkonsepkan santai dan berinformasi itu bermula pertengahan bulan ini meliputi kesemua 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan DUN.

“Kita nak pastikan rakyat Selangor mendapat pembelaan sewajarnya dan pada masa sama menerusi jelajah ini BN akan dekati rakyat untuk jelaskan isu-isu nasional yang dimomokkan kepada mereka oleh pembangkang seperti isu GST dan 1MDB,” kata bekas ADUN Sri Serdang itu di Shah Alam, hari ini.

Selain itu jelajah itu juga akan membuka peluang kepada kumpulan sasar untuk melontarkan idea dan berkongsi pelbagai maklumat bagi membolehkan BN Selangor merangka jalan penyelesaian termasuk menyediakan manifesto pada PRU-14.

Siri jelajah itu akan bermula di DUN Selat Klang dan akan diteruskan ke kawasan DUN lain sehingga tiba PRU-14.

Sementara itu talian khas hotline 019-7917936 juga diperkenalkan bagi memudahkan rakyat membuat aduan membabitkan kawasan mereka.



Author:

Facebook Comment