FGV Betulkan Kenyataan Media Mingguan Dalam Temu bual Bersama Datuk Zakaria 




Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) hari ini menjelaskan beberapa kenyataan tidak tepat diterbitkan sebuah akhbar perniagaan mingguan tempatan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata bekas Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah tidak terlibat dalam meluluskan atau melaksanakan proses pembayaran Safitex Trading LLC.

FGV berkata, tiada satu pun kelulusan dan urus niaga berkaitan Safitex Trading mempunyai tanda tangan Emir mahu pun terdapat sebarang rujukan kepadanya.

Kumpulan itu juga menjelaskan keputusan memansuhkan cadangan pembelian 55% pegangan dalam syarikat minyak makan China, Zhong Ling Nutril-Oil Holdings Ltd, bukan dibuat oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad.

FGV berkata ia disebabkan syarat terdahulu (CP) dalam perjanjian jual dan beli yang tidak dapat dipenuhi dalam tarikh penyelesaian CP dan tidak dikecualikan.

“Lembaga memutuskan membuat pengumuman mengenai perkara di atas pada 8 April, 2016. Pada Februari 2017, satu lagi cadangan bekerjasama dengan Zhong Ling berkaitan anak syarikat FGV di China dimulakan oleh satu jawatankuasa kerja di bawah pimpinan Zakaria tetapi dibatalkan disebabkan isu pembiayaan,” kata kumpulan itu.

Mengenai langkah FGV tidak meneruskan urus niaga pembelian pegangan dalam PT Eagle High Plantations, kumpulan itu berkata, ia bukan keputusan diambil oleh Zakaria.






Author:

Facebook Comment