Buaya 200 Kilogram Di Tangkap Di Kampung Kaba, Saratok

SARATOK: Sambutan Aidiladha lazimnya sinonim dengan berita penduduk menangkap lembu terlepas, tetapi ia berbeza bagi penduduk di Kampung Kaba, di sini, yang menangkap seekor buaya tersesat seberat 200 kilogram.

Penduduk, Zamir Otman, 31, berkata ketika masyarakat lain merewang melapah daging korban, penduduk di perkampungannya pula sibuk berusaha menangkap buaya sepanjang 4.42 meter itu.

"Kami menyedari buaya itu masuk ke parit seawal jam 7 pagi, malah saya sendiri membantu menjerat buaya berkenaan yang pada mulanya bertindak ganas mahu melepaskan diri.

"Tidak berapa lama kemudian, buaya berkenaan seolah-olah beralah dan mendiamkan diri. Ia dipercayai buaya sama yang sering menceroboh ke kampung kami dan sering membaham haiwan peliharaan penduduk seperti ayam serta itik, selain sering masuk ke bawah rumah penduduk ketika air pasang besar," katanya.

Zamir berkata, sebelum ini sudah dua kali penduduk kampung berkenaan cuba menangkap buaya berkenaan, namun gagal.

"Kini, kami menunggu pihak bertanggungjawab mengambil reptilia ini dan berharap ia tidak dilepaskan kembali ke sungai di kampung ini kerana membahayakan penduduk yang ada di antaranya masih bergantung kepada hasil tangkapan sungai bagi menyara hidup, selain menjadikan sungai laluan perhubungan utama," katanya.




Author:

Facebook Comment