Bapa Jadikan Anak Sebagai Tebusan Di Kg Bintawa Hilir Alami Masalah Mental

Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental menjadikan anak perempuannya berusia dua tahun sebagai tebusan di rumahnya di Kampung Bintawa Hilir di Kuching, petang semalam.

Suspek berusia 33 tahun itu bertindak demikian ketika polis dan penduduk kampung cuba menenangkannya yang mengamuk menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang lelaki mengamuk pada jam 5.45 petang.

Berikutan itu, sepasukan anggota kereta peronda bersama seorang pegawai dikejarkan ke lokasi.

Apabila pasukan itu tiba di lokasi, mereka mendapati lelaki terbabit menahan anaknya sambil meletakkan parang di leher budak itu.

“Anggota kami cuba memujuk namun lelaki itu terus mengancam akan mencederakan anaknya jika polis atau penduduk kampung cuba memasuki rumah,” katanya.

Abang Ahmad berkata, selepas usaha memujuk lelaki itu supaya melepaskan anaknya dan menyerah diri tidak diendahkan, polis terpaksa bertindak menggunakan ‘taser gun’ untuk melemahkannya.

“Lelaki itu berjaya ditahan manakala anaknya yang cedera ringan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Lelaki itu dibawa ke Balai Polis Gita untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, lelaki itu mengalami gangguan mental selepas bercerai dengan isterinya.



Author:

Facebook Comment