RCI Skandal Forex BNM: Saksi Dedahkan Gabenor BNM Terkejut Bila Diberitahu Kerugian Besar

Bekas pembantu khas kepada Gabenor Bank Negara (BNM), Lee Siew Kuan hari ini mendedahkan bagaimana Tan Sri Jaffar Hussein terkejut apabila dimaklumkan bahawa bank pusat itu mengalami kerugian besar dalam urus niaga Forex melibatkan antara RM8 bilion ke RM9 bilion.

Beliau telah dilantik sebagai pembantu khas kepada Jaffar dari 1990 hingga 1993 dan berhenti dari bank berkenaan pada awal 1993.

Lee berkata Jaffar tidak berkata apa-apa dan kelihatan bimbang dan terkejut selepas dimaklumkan mengenai kerugian berkenaan.

Menurut Lee, Jaffar sebelum itu telah memintanya melihat akaun BNM dan beliau kemudiannya telah dimaklumkan oleh akauntan bahawa bank berkenaan mengalami kerugian yang besar dalam transaksi forex.

“Saya maklumkan kepada gabenor tentang kerugian itu tetapi beliau tidak percaya dan meminta saya memeriksanya sekali lagi.

“Selepas pemeriksaan kali kedua, saya bertemu dengan Tan Sri Lin See Yan yang ketika itu penolong gabenor dan kami menerangkan kepada Jaffar. Beliau kemudiannya menerima kerugian terbabit, ” katanya ketika memberikan keterangan pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Prosiding itu diadakan bagi menyiasat kerugian besar yang dialami BNM pada 90-an.

Lee menyertai BNM pada awal 1987 sebagai pegawai kontrak dan kontrak itu diperbaharui dua atau tiga tahun untuk membolehkannya menyelesaikan tugasnya.

Beliau melaporkan secara terus sama ada kepada Lin atau Jaffar.

Bagaimanapun Lee berkata beliau tidak terlibat secara langsung dengan tugas memantau urus niaga Forex yang dijalankan oleh Jabatan Bank mulai 1988 hingga 1993.

Lee juga memberitahu panel RCI bahawa beliau tidak dapat menyatakan siapa yang bertanggungjawab terhadap kerugian Forex dari 1990 hingga 1993 kerana tidak mempunyai fakta.

RCI itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamad Sidek Hassan.



Author:

Facebook Comment