Pekerja Syarikat Pembinaan Menara Kabel Elektrik Di Konawit Maut Tersepit Bawah Lori

KANOWIT: Seorang pekerja syarikat pembinaan menara kabel elektrik maut selepas tersepit di bawah lori yang terbalik di jalan balak di sini, hari ini.

Mangsa yang hanya dikenali Andrew, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 2.29 petang memaklumkan seorang pekerja tersepit dalam kemalangan di jalan balak berdekatan Simpang Majau, di sini.

Beliau berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak 27 kilometer dari balai.

"Bagaimanapun, jentera bomba sukar melalui jalan balak yang sempit dan licin itu hinggakan akhirnya kami terpaksa meminjam pacuan empat roda syarikat pembinaan menara elektrik untuk ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, sekali lagi kami menghadapi kesulitan untuk mengalihkan lori yang terbalik, namun masalah itu selesai selepas kami mendapat bantuan syarikat pembinaan menara elektrik itu yang meminjamkan jengkaut bagi membantu mengeluarkan mangsa," katanya.

Anggota polis yang berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Bomba membawa keluar mayat dari lokasi dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.



Author:

Facebook Comment