Lelaki disyaki rogol sepupu bawah umur ditahan polis

Suspek, 21, ditahan jam 10.50 malam kelmarin di tepi sebatang jalan di bandar ini oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Limbang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, berdasarkan laporan ahli keluarga, mangsa, 15, mengenali suspek yang juga sepupunya sejak Mei 2016 ketika tinggal di rumah bapanya.

“Mangsa mendakwa pernah melakukan hubungan seks sejak Jun 2016 dan kali terakhir pada Julai lepas bersama suspek,” katanya di sini, semalam.

Mangsa yang tidak bersekolah sejak berusia 12 tahun, sebelum ini menetap bersama ibunya sejak ibu bapanya bercerai.

Mangsa dirujuk ke Hospital Limbang dan seterusnya Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, seorang penjawat awam berusia 42 tahun dan seorang wanita ditahan di sebuah rumah di Batu Biah di sini dalam Ops Tapis sekitar jam 4.30 petang kelmarin.

Mohd Bukhori berkata, suspek lelaki berkenaaan didapati positif Amphetamine dan Methampetamine, manakala wanita itu negatif dadah.

“Dalam operasi sama, kita berjaya merampas syabu seberat 2.60 gram daripada suspek berkenaan,” katanya.

Selain itu, ujarnya, seorang lagi lelaki ditahan di hadapan kedai makan di bandar ini pada jam 6.15 petang kelmarin.

Suspek, 42, dari Kampung Buangsiul turut positif Amphetamine dan Methampetamine, hasil saringan awal yang dilakukan polis terhadapnya.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



Author:

Facebook Comment