Kekecohan Didalangi Anggota PPBM Sendiri Bukan Orang Luar - Pengarah Keselamatan Parti Pribumi

Pengarah Keselamatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parlimen Shah Alam Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin hari ini mendakwa kekecohan forum ‘Nothing to Hide 2.0’ Ahad lalu didalangi oleh anggota parti itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau meminta polis menyiasat insiden kekecohan tersebut dan ugutan bunuh terhadapnya.

“Laporan (polis) pertama yang saya buat, sebab saya mahu polis siasat insiden kekecohan itu kerana apabila kita teliti video yang dirakam dalam forum tersebut kejadian balingan kerusi itu sebenarnya ditujukan ke arah saya dan bukan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dan saya syak mereka yang terlibat itu terdiri daripada pihak penganjur, urusetia serta beberapa anggota PPBM sendiri. Insiden (kekecohan) itu sengaja diwujudkan supaya dapat menghalang saya daripada bertanyakan beberapa soalan kepada Dr Mahathir selepas isu Memali disoal (individu lain),” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, beliau membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap penganjur dan pasukan keselamatan forum itu.

Beliau mendakwa mereka membahayakan keselamatan hadirin dengan memberi contoh sebuah kerusi dibaling dari tingkat 2 Dewan Raja Muda Musa.

“Syed Saddiq (Ketua Pemuda PPBM) kata kerusi dilontar ke arah Dr Mahathir.

“Itu tidak betul. Sebenarnya ia ditujukan kepada saya, salah satu objek itu jatuh di depan saya.

“Jika kerusi itu terkena kepala seseorang, orang itu mungkin mati,” katanya lagi.

Ditanya kenapa serangan itu menyasarkannya, katanya, beberapa bulan lalu beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Dr Mahathir.

Dalam laporan itu, beliau meminta SPRM menyiasat kekayaan keluarga bekas perdana menteri.

“Saya kecewa tidak dapat mengemukakan soalan kepada Dr Mahathir. Saya sepatutnya berbuat demikian selepas Taufik, tetapi seseorang membaling kerusi ke arah saya,” katanya.

Beliau merujuk bekas exco Pemuda PPBM, Taufik Abas yang bertanya peristiwa Memali meragut 18 nyawa, termasuk 4 anggota polis dalam pertempuran pasukan keselamatan dengan penduduk kampung yang mempertahankan Ibrahim Mahmud, seorang guru agama tidak disenangi pihak berkuasa ketika itu.

Ketika Dr Mahathir menjawab soalan itu, satu botol air dilontar ke arahnya.

Anggota keselamatan segera berkumpul di sekitarnya ketika seseorang membaling sebuah kerusi yang nampaknya menyasarkan lelaki berusia 92 tahun itu.

Kekecohan tercetus dengan lebih banyak dilontarkan, termasuk 2 suar.

Satu daripadanya menyasarkan pentas dan satu lagi ke arah tempat duduk pengamal media.

Sementara itu, Wan mendesak Syed Saddiq meletak jawatan kerana gagal memastikan keselamatan ahli akar umbi PPBM.



Author:

Facebook Comment