Bapa ditahan bantu siasatan kes dera bayi di Lundu






Curiga dengan kesan cedera, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes dera bayi perempuan berusia setahun 11 bulan di Kampung Opek di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Keong ketika dihubungi berkata suspek berusia 18 tahun itu merupakan bapa kepada bayi tersebut.


Menurutnya, kini siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengulas lanjut, Wong berkata seorang kanak-kanak perempuan telah dihantar ke Wad Kecemasan
Hospital Daerah Lundu oleh ibu bapanya dalam keadaan cedera di bahagian muka, tangan dan kaki.

“Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, didapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan lebam di muka, kaki dan tangan.

“Imbasan x-ray mendapati terdapat kesan patah lama dan baharu di lengan dan pergelangan tangan kanan mangsa,” katanya.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa sebelum ini dikatakan terjatuh yang menyebabkan mukanya terhantuk pada tulang pipi bapanya pada Sabtu lalu.

Hantukan itu telah mengakibatkan bahagian dahi mangsa lebam dan bertambah serius sejak pagi Ahad.

Susulan itu ahli keluarganya membawa bayi berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun kesan cedera yang dialami mangsa tersebut amat mencurigakan sebelum laporan polis dibuat.

Wong berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Lundu untuk siastan lanjut.



Facebook Comment