4,244 penduduk Kota Belud terjejas banjir kilat

KOTA BELUD: Seramai 4,244 penduduk dari 10 kampung terjejas akibat banjir kilat yang melanda daerah itu tengah hari tadi, setakat jam 8 malam ini.
Banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu membabitkan Kampung Bobot, Ejuk, Gunding, Siasai Tamu, Siasai Kumpang, Menunggui/ Karang Benai, Lingkodon, Sadok-Sadok, Linau Liang dan Donggoi, susulan hujan lebat sejak jam 8.30 pagi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al Hamdi Ladin, berkata sebanyak 936 buah rumah terjejas dalam banjir berkenaan.
"Bagaimanapun, tiada pemindahan penduduk setakat ini. Keadaan cuaca juga baik dan tiada hujan manakala banjir kilat kini beransur surut," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Beliau berkata, anggota APM turut membantu membersihkan kayu besar dan ranting yang dihanyutkan arus banjir berhampiran sebuah rumah di Kampung Siasai, petang tadi.
"Anggota APM bergotong-royong dengan penduduk kampung membersihkan kayu besar dan ranting yang menghampiri rumah penduduk kampung berkenaan," katanya.



Author:

Facebook Comment