PRK Pujut diteruskan selagi tiada arahan mahkamah



MIRI: Pilihanraya Kecil (PRK) bagi kerusi N.74 Pujut akan diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu 4 Julai depan, selagi tidak ada perintah mahkamah untuk menghentikan atau menggantung proses tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah memberitahu walaupun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.74 Pujut, Dr Ting Tiong Choon, telah memfailkan tindakan saman, namun PRK DUN N.74 Pujut, seperti yang ditetapkan dalam writ pilihan raya tetap diteruskan sehingga ada arahan daripada mahkamah.

"Memandangkan perkara ini telah difailkan di mahkamah, maka ia kini terletak di dalam bidang kuasa mahkamah.

"Oleh itu adalah terlalu awal bagi SPR untuk memberi pandangan mengenai hasil keputusan mahkamah itu berhubung tindakan untuk menghentikan proses PRK tersebut," katanya.

Dr Ting, telah memfailkan saman pemulanya bagi membatalkan dan tidak sah, usul Dun Sarawak pada 12 Mei yang membatalkan kelayakannya sebagai ADUN.

Dr Ting menamakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai defendan pertama, Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh sebagai defendan kedua, DUN Sarawak, Kerajaan Sarawak, dan SPR sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima.

Pendengaran permohonan Dr Ting ditetapkan 10 Julai, jam 9 pagi.

Ting, diwakili pasukan lapan peguam diketuai peguam kanan Chong Siew Chiang memohon perisytiharan bahawa perlucutan kelayakannya sebagai ADUN Pujut yang dipilih sewajarnya oleh defendan pertama, berikutan usul menteri yang dibawa oleh defendan kedua pada 12 Mei dan diluluskan oleh persidangan DUN dan Speaker adalah batal dan tidak sah dan tiada membawa kesan kerana ia melanggar undang-undang.

Borneo Post



Facebook Comment