Polis Sarawak mohon bantuan rakan di Semenanjung siasat PapaGomo



Polis Kontijen Sarawak akan mendapatkan bantuan daripada anggota di Semenanjung Malaysia bagi menjalankan siasatan terhadap blogger PapaGomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung kenyataan hasutan pada minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, bantuan itu bagi membolehkan rakaman percakapan subjek (PapaGomo) didapatkan berkaitan kenyataan hasutannya.

Malah, beliau mendedahkan setakat semalam sebanyak 37 laporan polis telah dibuat terhadap PapaGomo di seluruh Malaysia.

“Siasatan masih diteruskan jadi saya tidak dapat mendedahkan lagi hasil siasatan kerana siasatan sedang dijalankan melibatkan banyak laporan polis dan elemen media dan ini mengambil masa untuk kita selesaikan siasatan.

“Belum ada tindakan, cuma siasatan itu kami memohon bantuan daripada rakan di Semenanjung untuk membantu kami dari sudut rakaman percakapan subjek (PapaGomo) berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bas Kuching Sentral di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, kertas cadangan pertuduhan terhadap guru lelaki yang didakwa meliwat seorang pelajar berusia 14 tahun di Kapit sedang dibuat dan sekiranya bukti mencukupi, suspek akan dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan.

Tahanan reman terhadap suspek berusia 42 tahun yang merupakan guru sekolah rendah itu akan tamat pada 21 Jun ini.
UtusanBorneo

Facebook Comment