K’jaan hormati keputusan mahkamah memihak Dr Ting


KUCHING: Kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memihak kepada Dr Ting Tiong Choon sekali gus mengekalkan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

Namun, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pihaknya menerusi Peguam Besar Negeri akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Kita menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching. Mahkamah mengikut lunas undang-undangnya, jadi kerajaan negeri akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ihsan Ramadan Satok di Dewan Dato Hajah Juma’ani Sekolah Kebangsaan Rakyat di sini semalam.

Ditanya apakah tindakan selanjutnya, Abang Johari berkata, pihaknya akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Kita melalui Peguam Besar Negeri kerana mereka akan mewakili kerajaan negeri untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan,” tambahnya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuching membuat keputusan untuk mengembalikan status Dr Ting dan keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun selepas membenarkan permohonan Dr Ting mencabar keputusan Speaker DUN Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar yang melucutkan keanggotaannya pada Persidangan DUN, 12 Mei lepas.

Dr Ting selaku plaintif menamakan Asfia sebagai defendan pertama dan Dato Sri Wong Soon Koh sebagai defendan kedua serta tiga lagi defendan lain.

Dalam penghakimannya, Douglas berkata perlembagaan jelas menyatakan bahawa jika mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya, mereka perlu membuat satu petisyen pilihan raya kepada mahkamah.

Dewan katanya, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berurusan dengan keputusan pilihan raya dan bukan satu badan yang kompeten untuk membuat keputusan mengenai isu-isu perlembagaan.

“Perlucutan kelayakan plaintif adalah bertentangan dengan peraturan keadilan asasi dan juga melanggar perlembagaan negeri khususnya Perkara 17 (1) (g) di dalamnya dan/atau Perkara 118

Perlembagaan Persekutuan dan/atau Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, plaintif (Dr Ting) tidak diberikan masa dan peluang yang mencukupi untuk membela diri berhubung dakwaan memiliki dua kewarganegaraan, Malaysia dan Australia.

“Hal kewarganegaraan adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan speaker membuat keputusan kurang tepat dalam mentakrifkan undang-undang mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Susulan keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan Asfia selaku defendan pertama dan Wong selaku defendan kedua membayar bersama kos guaman RM100,000 kepada Dr Ting.

Terdahulu, dalam ucapan pada program itu, Abang Johari berkata, ekoran kestabilan persekitaran perniagaan masa kini membolehkan para peniaga menyumbang semula kepada rakyat yang memerlukan.

“Sumbangan daripada syarikat tempatan dan syarikat besar pada tahun ini untuk bersama-sama membantu mereka memerlukan juga meningkat pada kali ini,” jelasnya.

Pada majlis itu, Abang Johari ditemani isterinya Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengagihkan sumbangan ihsan Ramadan kepada 400 penerima.

Hadir sama pengerusi penganjur merangkap Ketua Pergerakan Pemuda PBB Satok Kaunselor Iskandar Sharkawi dan tetamu kehormat lain.
UtusanBorneo


Facebook Comment