Kit Siang Harus Minta PO1 Letak Jawatan

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sepatutnya meminta anak beliau Penang Official 1 (PO1) meletak jawatan berhubung kes rasuah yang dihadapinya sekali gus orang lain akan melihat tuntutan Kit Siang secara serius.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata Kit Siang juga seharusnya berhenti menggunakan isu lain untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu skandal forex Bank Negara.

"Malah, beliau sepatutnya mendedahkan salah laku (Tun Dr) Mahathir Mohamad berhubung perkara ini, yang mengakibatkan kehilangan wang pembayar cukai AS$10 bilion.

"Selepas beberapa dekad menyeru penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, Kit Siang kini membisu dan mengadakan pakatan baharu bersama Dr Mahathir bekas pemenjaranya - semuanya demi kepentingan politik - mendedahkan sifat sebenar beliau, mengetepikan prinsip dan integriti dan kerakusan untuk berkuasa di Malaysia, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Sariffuddin berkata, "Pada zaman ini rakyat tidak menghormati diktator seperti Dr Mahathir yang sendiri mengakuinya atau Kit Siang yang sering menafikannya".

"Oleh itu sebarang kenyataan oleh Kit Siang mempunyai kepentingan sendiri dan tidak boleh dipercayai, " katanya.

Katanya, Kit Siang sepatutnya berhenti daripada cuba menyembunyikan bahawa DAP mempunyai kerusi pembangkang paling banyak, "oleh itu pada hakikatnya parti itu yang berkuasa".

Beliau berkata, DAP adalah pemimpin pembangkang utama, maka rakyat Malaysia perlu tahu siapa yang akan dipilih Kit Siang menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Kit Siang mestilah telus mengenai pilihannya siapa yang menjadi PM, oleh kerana rakyat perlu tahu siapa yang akan memerintah mereka jika mereka memilih pembangkang.

"Kerajaan pimpinan Kit Siang dan DAP akan mendatangkan bencana bagi Malaysia dan rakyat negara ini," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi dua tuduhan rasuah berhubung pertukaran status tanah dari zon pertanian ke kediaman, pembelian beberapa bidang tanah dan sebuah banglo di bawah harga pasaran.



Author:

Facebook Comment