14 Hilang Di Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu Ditemui Selamat

KINABATANGAN: Sembilan lagi mangsa yang hilang di Hutan Simpan Ulu Segama, dekat Lahad Datu ditemui, tengah hari tadi.

Semua mangsa ditemui pada jam 1.20 tengah hari di kawasan hutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini dalam proses membawa keluar semua mangsa dari kawasan hutan simpan itu.

"Semua mangsa selamat. Proses membawa keluar semua mangsa masih dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Rabu lalu, lima penduduk dari Kampung Paris 1, memasuki hutan berkenaan untuk menangkap ikan, namun gagal dihubungi sebelum sembilan lagi penduduk masuk ke hutan itu pada Jumaat untuk mencari mangsa.

Lima mangsa pertama ditemui penduduk di Kampung Balat, kira-kira jam 10 pagi tadi.



*********
Hilang di Ulu Segama: 5 Ditemui Selamat 

KINABATANGAN: Lima daripada 14 orang yang hilang di Hutan Simpan Ulu Segama, dekat Lahad Datu, ditemui selamat, pagi tadi.

Lima lelaki itu ditemui penduduk di Kampung Balat, dekat sini, kira-kira jam 5 pagi tadi.

Mereka yang ditemui dipercayai kumpulan pertama yang masuk ke hutan simpan berkenaan, kira-kira 35 kilometer dari Kampung Paris 1 untuk mencari ikan di Sungai Bilong, pada jam 2.30 petang, 21 Jun lalu.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kinabatangan ketika dihubungi berkata, penduduk kampung menghubungi balai bomba memaklumkan penemuan itu pada jam 10 pagi tadi.

"Menurut penduduk, lima yang hilang ditemui pada waktu Subuh dan semua dalam keadaan sihat," katanya.

*******
14 Hilang Di Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu

KINABATANGAN: Seramai 14 penduduk Kampung Paris 1, dekat sini, dikhuatiri hilang di hutan simpan Ulu Segama, Lahad Datu, antara empat hingga enam hari lalu.

Dalam kejadian 21 Jun lalu, lima penduduk dilaporkan pergi ke Sungai Bilong di hutan berkenaan untuk mencari ikan, kira-kira jam 2.30 petang.

Selepas lebih dua hari tidak pulang dan gagal dihubungi, sekumpulan sembilan penduduk lagi pergi ke hutan itu untuk mencari mangsa, namun dipercayai turut hilang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata laporan polis hanya dibuat Ahad lalu selepas penduduk gagal menghubungi semua mangsa yang berusia antara 20 tahun dan 58 tahun.

Katanya, operasi mencari dilancarkan semalam membabitkan 80 anggota polis, bomba, Jabatan Hidupan Liar dan penduduk kampung.

"Dua kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan semua mangsa ditemui di pinggir hutan simpan berkenaan.

"Operasi menjejaki mangsa semalam tertumpu di sekitar kawasan 2.2 kilometer radius, dipercayai lokasi mangsa bergerak.

"Pasukan menyelamat menemui bekas bungkusan makanan, kotak rokok kosong dan tempat dipercayai untuk mangsa berehat," katanya, sebentar tadi.

A Sahak berkata, operasi dihentikan semalam susulan cuaca gelap dan diteruskan hari ini.




Author:

Facebook Comment