Portal Berita Pro-DAP Padam Artikel Kit Siang Dakwa Mahathir Terlibat Skandal Forex

Lidah rasmi parti DAP, Roketkini, didakwa telah memadam segala  artikel yang pernah mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  terlibat dengan skandal dagangan mata wang asing (forex) sekitar 1990-an.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao menerusi  kenyataannya kepada media menjelaskan tindakan berkenaan ekoran Dr Mahathir kini menyertai blok pembangkang bersama-sama DAP menentang Barisan Nasional (BN).

“Semua artikel yang pernah tuduh Dr Mahathir terlibat skandal rasuah, Forex dan  BMF telah dipadamkan dari laman sesawang Roketkini.

“Kita tahu Kit Siang ada banyak maklumat dan beliau merupakan orang yang paling  marah dengan (Dr) Mahathir ketika skandal itu pada tahun 1992 sehingga negara  kehilangan berbilion ringgit,” katanya.

Menurut Ramesh, Kit Siang pada 3 Jun 2012 pernah berjanji sekiranya pembangkang  berjaya menawan Putrajaya, sebuah Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) akan  ditubuhkan bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) yang mencecah RM30 bilion.

“Saya menyokong penuh cadangan (Dr Rosli Yaakop, bekas Timbalan Gabenor Bank  Negara) … Sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih sebagai kerajaan persekutuan dalam pilihanraya umum yang akan datang, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja  mestilah ditubuhkan untuk menyiasat kerugian skandal forex Bank Negara bernilai  RM30 bilion dalam 1992.

“Serta terhadap semua skandal-kewangan selama tempoh 22 tahun Mahathir sebagai  pemimpin negara … Dalam buku Barry Wain, yang bertajuk “Malaysian Maverick”,  dalam empat skandal kewangan dalam tempoh pimpinan Mahathir jumlah kerugian yang  dialami oleh Malaysia dianggarkan bernilai RM100 bilion,” kata Kit Siang.

Walaubagaimanapun, janji tersebut tinggal sekadar janji ekoran Penasihat DAP itu kini tidak lagi berminat untuk meneruskan siasatan terhadap kerugian BNM sambil  menyifatkan skandal forex 1990 sebagai ‘bangkai gajah’.

‘U-Turn’ Kit Siang kata Ramesh ekoran usianya yang sudah lanjut dan beliau  tidak mahu dilihat sebagai seorang pemimpin DAP yang gagal membawa kejayaan  kepada parti untuk misi menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

“Anaknya sendiri sudah berjaya jadi Ketua Menteri, Lim Kit Siang berjaya jadi  apa? Sebab itu kerjasama ini begitu penting kerana jika beliau pentingkan dendam dengan Mahathir, segalanya akan musnah dan tak ada harapan untuk pembangkang  menang,” dakwanya.

Justeru, Ramesh menggesa Kit Siang konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat  dan tidak perlu berlembut untuk mendedahkan penipuan Dr Mahathir yang melibatkan wang rakyat sehingga berbilion ringgit.

“Kalau betul, kami PMSP sedia bantu Kit Siang londehkan kejahatan Mahathir pada  masa itu,” tambahnya lagi.



Author:

Facebook Comment