Perhimpunan Aman Hormat Rakyat Sarawak



Lebih 100 orang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini mengadakan perhimpunan secara aman sempena sambutan Hari Pekerja.

Perhimpunan aman bertemakan 'Hormat Hak Rakyat Sarawak' itu yang dianjurkan oleh Gerakan Anak Sarawak (GASAK) antara lain mengetengahkan isu-isu berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), membantah penyerahan pengurusan taman negara (Gunung Mulu) kepada syarikat China, penyelesaian terhadap isu kad pengenalan dan sebagainya termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi penganjur perhimpunan aman tersebut, Dennis Along melahirkan rasa gembira dengan kejayaan perhimpunan aman tersebut, yang turut mendapat kerjasama polis dan peserta perhimpunan, tanpa sebarang kerosakan harta-benda, provokasi dan sebagainya.

"Kita telah melakukan perhimpunan dengan aman, berarak dari kawasan permulaan iaitu di tanah lapang di Pusat Komersil Centre Point di sini, melalui beberapa laluan (sejauh lima kilometer) sebelum kembali semula ke lokasi bermula," katanya.

"Perhimpunan ini adalah salah satu cara untuk kami 'bersuara' mengenai hak dan soal mempertahankan hak-hak rakyat negeri ini, yang mana gagal 'disuarakan' oleh wakil-wakil rakyat kita," ujar beliau lagi sambil menyifatkan perhimpunan itu juga berjaya mencapai matlamatnya.


Selain itu Dennis berkata, antara lain perhimpunan aman ini diadakan juga bertujuan untuk menuntut hak rakyat khususnya di kawasan Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) yang mahukan Kerajaan Negeri mendedahkan dan menyatakan secara telus kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan kerajaan China, selepas ia bercadang menyerahkan hak pengurusan taman negara itu kepada sebuah syarikat.

Turut dibangkitkan ialah usaha menuntut keadilan terhadap arwah Bill Kayong, yang ketika ini kes melibatkan pembunuhannya masih didengarkan di mahkamah.

Antara NGO yang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut semalam ialah GASAK, Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS), Sarawak Fighters, Pergerakan Sarawak For Sarawakian (S4S) dan banyak lagi termasuk PKR Miri.

Perhimpunan itu juga turut disertai oleh Ahli Parlimen Miri merangkap Ketua PKR Miri, Dr Michael Teo.
borneopost



Facebook Comment