Anwar PM Ke 7: Parti Munge Hanya Melukut Tepi Gantang

Parti pembangkang lain tahu hasrat Pengerusi PPBM Mahathir Mohamad mahu Presiden parti itu Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang PRU 14.

Malangnya, PKR hari ini menunjukkan bahawa PPBM hanya parti melukut di tepi gantang apabila menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 7.

Anwar kini menjalani hukuman penjara kerana didapati bersalah meliwat dan dijangka dibebaskan tahun depan.

Lebih memalukan, pimpinan DAP dan PAN turut bersama-sama pemimpin PKR memegang sepanduk ‘Anwar PM ke-7’ ketika Mahathir dan Muhyiddin hadir ke Kongres Nasional Tahunan PKR ke 12 di Shah Alam.



Tindakan pemimpin tiga parti pembangkang itu seolah-olah mesej jelas kepada Mahathir bahawa mereka tetap mahu Anwar sebagai perdana menteri bukan orang lain termasuk Muhyiddin yang pernah disebut mantan perdana menteri itu.

Umum tahu, PPBM kini sedang bergolak dengan sebilangan pemimpin meninggalkan parti tersebut.

Bahkan, Muhyiddin berdepan desakan PPBM Perak supaya melepaskan jawatan Presiden parti itu.

Sebelum ini, PAS menamatkan rundingan untuk bekerjasama dengan PPBM kerana kelancangan mulut Mahathir mengkritik parti Islam tersebut.

PPBM ibarat sudah jatuh ditimpa tangga dengan tindakan pemimpin PKR, DAP dan PAN mempamerkan sepanduk ‘Anwar PM ke-7’.

Tiga parti pembangkang itu maklum PPBM hanya parti baru yang bergantung harap kepada pengaruh Mahathir, anaknya Mukhriz serta Muhyiddin.

PPBM bukan parti berpengaruh apatah lagi untuk menamakan pemimpinnya sebagai perdana menteri.

Mungkin sebelum ini Mahathir berpendapat beliau boleh menjadi jeneral perang bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi kini terbukti, beliau dan PPBM hanya parti melukut di tepi gantang dikalangan pembangkang lain.


Barangkali menyedari hakikat itu, Mahathir menandatangani petisyen untuk membebaskan Anwar yang menjadi  ‘musuh’nya satu ketika dahulu.

Ketika diminta mengulas, Mahathir mengakui bahawa beliau mahu Anwar, yang menjadi Timbalan Perdana Menteri sewaktu zaman pemerintahannya, dibebaskan.

“Ya saya menggesa supaya beliau dibebaskan… bukan saya yang menyebabkan beliau dipenjarakan, itu cerita lama…” katanya kepada media.

Mungkin dengan tindakan itu, Mahathir boleh berharap ada belas ihsan daripada PH atau PKR khususnya untuk terus berkawan dan menyokong PPBM.


Author:

Facebook Comment