Tahniah Team KE7B Berjaya Takluk Kutub Utara



Sejarah tercipta lewat malam ini apabila tiga penjelajah ikon sukan lasak negara akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke titik tengah 90 darjah utara di Kutub Utara tepat pada jam 11.06 malam, waktu Malaysia. Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mokhles dalam kenyataan terkini beliau di laman Facebook rasminya menyampaikan berita bersejarah itu setelah dimaklumkan oleh 3 wira berkenaan. 


"Alhamdulillah, Qobin, Shahrom dan Boiy baru menghubungi saya dan memaklumkan mereka telah selamat tiba ke titik tengah 90 darjah tepat pukul 5.06 minit petang waktu Kutub Utara atau 11.06 malam waktu Malaysia," tulis beliau.

Menurut Akmar Hisham, perjalanan Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 35, serta atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah, 38; dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37; dalam misi berkenaan terpaksa mengharungi rintangan rekahan ais yang terpisan sejauh 30 meter.

Ekoran itu jelas beliau, tiga wira berkenaan terpaksa mencari laluan alternatif sejauh kira-kira 8 batu untuk mengelakkan laut yg mula mencair untuk sampai ke garisan penamat.

Difahamkan bahawa sebuah helikopter sedang digerakkan untuk mengambil mereka di titik tengah 90 darjah untuk diterbangkan segera ke Kem Ais Barneo Station yang dijangka bakal mengambil masa kira-kira 35 minit.

"Saya juga dimaklumkan oleh Qobin yang mereka akan diterbangkan ke Longyearbyen dari Stesen Barneo dengan kapal terbang malam ini juga memandangkan landasan terbang ais di stesen tersebut juga sudah mula retak dan cair.

"Koordinasi sedang dibuat supaya mereka semua berjaya keluar dari Kutub Utara dengan selamat," jelas Akmar Hisham yang juga merupakan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Beliau selaku penasihat kepada KE7B yang menjadi tulang belakang kepada Ekspedisi ke Kutub Utara itu turut mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 3 wira itu yang berjaya membuktikan kebolehan anak Malaysia untuk menakluk Kutub Utara.
"Apapun setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada tiga anak muda ini yang kental mengharungi cabaran di kutub yang sangat asing dan ekstrem ini.

"Tahniah juga untuk Qobin. Kejayaan ini adalah hadiah paling indah untuk dirinya yang genap berusia 35 pada hari ini. Selamat Hari Lahir Qobin yang juga ketua penjelajah untuk ekspedisi ini.

"Kami di Malaysia amat berbangga dengan kejayaan 3 anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak ini," kata beliau, bangga dengan kejayaan tersebut.
Titik 90 darjah Kutub Utara terletak pada latitud 90 darjah Utara sekali gus semua garisan longitud bertemu pada titik berkenaan dan pada kedudukan tersebut juga, setiap arah seseorang itu menghadap adalah selatan.

Qobin, Shahrom dan Muhammad Irwan merupakan anggota Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) melakukan “Last Degree Ski” sejauh 111 kilometer bakal catat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara.

Mereka berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, iaitu terletak di Pulau Svalbard, Norway kira-kira 2,046 kilomter dari ibu kota Norway itu selama seminggu.

Mereka kemudiannya memulakan misi penjelajahan dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah itu. Sepanjang ekspedisi, mereka akan berski sambil menarik kereta luncur salji yang mengandungi barang keperluan.

Ini termasuk peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Puncak 7 Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. - Kedahnews.com

Facebook Comment