Sesalan Tiada Makna -Watson Nyambek



Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) menggantung serta-merta pengacara program 'Sukan Tak Central', Azizul Ammar Abu Hassan yang popular dengan nama Ammar tanpa tempoh berkuat kuasa semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios Sdn Bhd Datuk Ahmad Izham Omar berkata turut digantung enam lagi kru yang terbabit dalam penerbitan program komedi berbentuk sukan terbabit.

"Primeworks mengambil tindakan tegas dan serta-merta menggantung perkhidmatan Ammar dan kru penerbitan yang terlibat.

"Sepanjang tempoh penggantungan iaitu tiada tempoh, Ammar tidak dipanggil untuk mana-mana rancangan kerana perbuatan mempersenda nama mendiang ayah dan keluarga Watson Nyambek adalah salah," katanya pada sidang media Primeworks Studios dan Watson di sini semalam.

Ahmad Izham berkata, Ammar digantung tanpa tempoh ditetapkan sementara enam lagi kru penerbitan yang merupakan kakitangan tetap stesen penyiaran berkenaan turut digantung tugas.

"Kami juga memberhentikan serta-merta rancangan terbabit dan mengadakan pemohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Watson dan seluruh rakyat Sarawak dalam siaran televisyen," jelasnya.

Katanya Primeworks Studios telah memohon maaf secara terbuka dan memberi peringatan kepada semua.kakitangan untuk sentiasa peka dan sensitif dalam setiap rancangan diterbitkan.Pihaknya juga membuat kajian semula terhadap kaedah kerja operasi pihaknya bagi mengelak perkara yang sama berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, Watson pada sidang media itu enggan menerima permohonan maaf terbabit sebaliknya akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pengacara serta Primeworks Studios Sdn Bhd.

"Saya susah menerima permohonan maaf tersebut kerana mereka menghina dan menyamakan bapa saya dengan seekor haiwan dan saya berasa amat kecewa dan marah," katanya.

Bagaimanapun, Watson kemungkinan boleh menerima permohonan maaf itu pada masa akan datang namun ketika ini beliau meneruskan perjuangan menegakkan keadilan.

Terdahulu, bekas pelari pecut negara itu membuat laporan polis berhubung tindakan biadap pengacara dalam satu rancangan parodi bertajuk ‘Sukan Tak Central’ yang menghina nama mendiang bapanya.

Watson ditemani lebih 40 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan hadir di Balai Polis Miri seterusnya membuat laporan polis kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ditanya sama ada beliau mengambil tindakan susulan termasuk menyaman pengacara serta Primeworks Studios Sdn Bhd, Watson berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.

Sementara itu, Ammar turut memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Watson dan seluruh rakyat Sarawak atas kesilapan yang dilakukannya secara spontan.

"Saya memohon maaf kepada abang Watson sekeluarga dan seluruh rakyat Sarawak, saya berjanji perkara sedemikian tidak akan berulang.

"Saya tidak berniat mempersenda mendiang ayah Watson, mungkin kerana saya mahu membuat lawak untuk menghiburkan orang namun saya terlanjur dan terlepas pandang," katanya.

Sidang media itu turut dikelolakan oleh Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang selaku orang tengah bagi memastikan ia berlangsung dalam keadaan aman.
Borneo post


Facebook Comment