PKR Porak Peranda Kerana Kes Rasuah Adam Rosly

Hanya kerana seorang Ketua AMK Bahagian Ampang, Parti Keadilan Rakyat hari ini menyerlahkan bahawa parti beridealogikan Anwar Ibrahim itu sedang bergolak. Selama ini, PKR berusaha menyembunyikan masalah dalaman partinya. Kali ini tidak boleh sembunyi lagi.

Hanya disebabkan Adam, maka terserlahlah dua kem utama yang kini wujud dalam PKR. Kem Azmin dan Kem Wan Azizah.

Serangan dimulakan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menempelak cara Adam Rosly mengumpulkan kekayaan luar biasanya. 

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Rafizi berkata, sama ada seseorang itu menjawat jawatan awam atau pun tidak, seseorang yang memegang jawatan dalam parti, tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat.

Rafizi berkata benar dalam isu ini. Namun, kenyataan ini pantas dibidas oleh Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang. Zuraida berkata, kaya bukan satu jenayah.

Adam tidak perlu mengisytiharkan hartanya kerana Adam bukanlah penjawat awam. Rafizi kemudian terus serang lagi dengan mengatakan jangan libatkan rasuah Adam Rosly dengan PKR.

Lebih menambah rencah dan rasa, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali nyata berang dengan sikap Rafizi. Azmin melihat Rafizi sengaja mahu buat kacau di Selangor.

Rafizi dilihat sengaja mahu cetus ketegangan antara PKR dan PAS, selain mahu membuat kacau "membunuh" orangnya di Selangor.

Apa sudah jadi dengan PKR? Dalam konflik dalaman PKR ini, masing-masing cuba untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Di pihak Rafizi, dia sedaya upaya mahu merosakkan pentadbiran Azmin dan barisan penyokongnya dengan pelbagai dakyah dan tuduhan.

Jika masih ingat, Rafizi adalah individu yang mula-mula sekali mendedahkan bahawa wujud salah laku rasuah kewangan dan seks di dalam kerajaan negeri Selangor. Semua ini terdedah setelah satu transkrip whatsapp terdedah kepada umum tahun lalu.

Bagi Azmin pula, Rafizi harus dihancurkan. Ini kerana Azmin mempercayai Rafizi mempunyai perancangan untuk menjatuhkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor.

Ini bersandarkan kepada penglibatan Rafizi di dalam Langkah Kajang untuk menjadikan Wan Azizah sebagai MB Selangor. 

Tetapi Langkah Kajang Rafizi itu gagal, Azmin potong "tang corner". Azmin akhirnya diangkat menjadi Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sudah pasti dendam Rafizi dengan Azmin masih belum lagi habis.

Nampaknya, sebaik sahaja Anwar sekali lagi “menginap” dirumah keduanya di Penjara Sungai Buloh, masa depan PKR yang dibina hasil dari kebencian dan dendam, kini sedang menuju kehancuran.

Kes melibatkan Adam Rosly hanyalah penyebab dan punca terdedahnya konflik dalaman PKR yang amat sukar untuk diselamatkan walaupun Anwar dibebaskan kelak.

Pergaduhan PKR di Selangor sudah jadi macam gusti "Royal Rumble". Masing masing mahu menjatuhkan yang lain untuk dapat tali pinggang. Di tepi gelanggang,  PAS pula sudah umum mahu tanding 45 kerusi di DUN Selangor. 

PAS sedang melihat pergaduhan itu dan akan mengambil peluang bila yang sedang bergaduh di atas gelanggang itu sudah penat dan lelah. Bila PAS masuk sahaja, PAN pula di sudut gelanggang satu lagi sedang melihat juga pergaduhan ini. PAN hanya setia pada DAP yang akan mengambil untung dari semua pergaduhan ini.

Rakyat Selangor kena buka mata pasal pergaduhan mereka ini. PKR bukan hendak sangat jadi wakil rakyat di Selangor. Mereka mahu rampas apa yang ada di Selangor. Adam Rosly sudah jadi satu contoh bagaimana harta rakyat dikaut dengan rakusnya demi kepentingan diri. 



*****


Author:

Facebook Comment