Oya mempunyai perancangan tiga projek besar berjumlah RM26 juta yang bakal bermula pada tahun ini - Randau Sarawak

Breaking

Tuesday, April 18, 2017

Oya mempunyai perancangan tiga projek besar berjumlah RM26 juta yang bakal bermula pada tahun ini


Sejumlah RM19.5 juta bina Tembok Lapis Lindung Batu sepanjang dua kilometer di Pantai Kuala Oya

 

MUKAH: Oya mempunyai perancangan tiga projek besar berjumlah RM26 juta yang bakal bermula pada tahun ini.

Sejumlah RM19.5 juta diperuntukkan bagi membina Tembok Lapis Lindung Batu sepanjang dua kilometer di Pantai Kuala Oya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata, ini termasuk pengekalan tapak warisan Pesta Kaul di Tugek, Pantai Kuala Oya.

“Tapak Pesta Kaul Oya ini, rumah, kedai, jalan serta harta benda lain akan terselamat daripada hakisan pantai,” katanya pada perasmian Kaul Oya semalam.

Menurutnya, kadar hakisan pantai adalah sebanyak lima meter setahun dan sangat berisiko terhadap komuniti terutama yang hampir di kawasan pantai.

Perkara itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) ‘Rolling’ Kedua. Projek kedua yang turut diluluskan adalah rancangan memulihkan Koridor Sungai Batang Oya dan Pekan Sabtu Oya bernilai RM4 juta.

“Saya gelar ia projek serampang dua mata di mana di samping menghalang hakisan fizikal turut memelihara ekonomi penduduk setempat yang bergantung ekpada aktiviti perikanan,” katanya.

Beliau turut mahu ia dilihat sebagai kawasan mesra orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai kemudahan lain bagi manfaat penduduk dan pengunjung.

Sementara itu, satu lagi projek dalam perancangan iaitu Galeri Warisan Oya di bawah Rancangan Transformasi Luar Bandar dijangka menelan kos RM 2.5 juta.

“Kita mahu setiap sejarah dan warisan kita di Oya ini didokumentasikan secara teratur dan dapat diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Ia bakal diwujudkan dengan dua tingkat di mana tingkat bawah menempatkan galeri dan sejarah manakala tingkat atas pejabat bagi Lembaga Amanah Kebajikan Melanau Oya.

Turut hadir Wali Kota Majlis Daerah Dalat dan Mukah Kadir Jamil, Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh dan Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.


No comments:

Post a Comment