Kerugian US$10 Bilion BNM: Anwar Seperti Sesumpah Kenyataan Berubah-Ubah

Anwar Ibrahim tidak ubah seperti sesumpah apabila bertukar-tukar cerita mengikut keadaan dan kepentingan politik soal isu skandal pertukaran mata wang asing (forex).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata bekas ketua pembangkang yang masih dipenjarakan itu didakwa menukar cerita berkaitan isu tersebut apabila Mahathir Mohamad kini menjadi sekutunya.

“Bila dia bersama Mahathir, dia cakap sesuatu perkara. Bila menentang Mahathir, dia cakap perkara lain pula dan sekarang bila dia sekali lagi bersama Mahathir, Anwar buat cerita baru,” kata Salleh melalui satu entri di blognya hari ini.

Menurut Salleh yang juga Bendahari UMNO, pada tahun 1993, Anwar telah menafikan Bank Negara telah kehilangan wang di pasaran forex.

Ia berikutan respons kepada soalan yang Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang membangkitkannya di Parlimen, di mana perkara itu boleh disemak dan disahkan melalui hansard Parlimen.

“Pada tahun 1994, Anwar memberitahu Parlimen ia adalah satu kerugian kecil dan hanya ‘kehilangan kertas’. Beliau juga menyalahkan Gabenor Bank Negara atas perkara itu dan menyarankan gabenor meletakkan jawatannya.

“Manakala pada tahun 2012, dalam satu forum di Pulau Pinang, beliau menukar cerita dengan memberitahu kerugian berjumlah AS$10 bilion dan mereka menyalahkan tiga individu lain iaitu Tun Daim Zainuddin termasuk Mahathir,” katanya.

Bagaimanapun ketika ini, Mahathir bersama-sama beliau dalam blok pembangkang, Anwar sekali lagi menyuarakan pandangan lain dengan menyalahkan hanya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Justeru, Salleh berkata, perkara itu akan menjadi sebab mengapa terdapat keperluan siasatan perlu diteruskan terhadap perkara yang sama.

“Jika kebenaran berjaya disingkap 24 tahun lalu, kita tidak akan lagi menyiasatnya hari ini,” katanya.

Anwar baru-baru ini dipanggil oleh jawatankuasa khas menyiasat skandal mata wang di Bank Negara pada tahun 1990-an yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.




*********
Rujukan:

"Pakatan Akan Siasat Semula Skandal Forex RM30 Bilion Sekiranya Berjaya Menawan Putrajaya – Lim Kit Siang, Ketua Umum Pakatan"



Author:

Facebook Comment