Kejayaan ekspedisi Kutub Utara jadi inspirasi anak muda






Tiga penjelajah negara yang berjaya dalam Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Kutub Utara 2017 mahu kejayaan itu menjadi inspirasi kepada generasi muda. Ketua ekspedisi merangkap Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin berkata, bukan niat pihaknya untuk mencipta sebarang rekod tetapi mahu mengajak lebih ramai rakyat Malaysia menceburi bidang sukan ekstrem.


"Sebenarnya ramai rakyat Malaysia melibatkan diri dalam sukan ekstrem, tetapi mereka perlu ke hadapan dalam soal ini.
"Kami berbangga kerana menjadi antara rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan misi ini sekali gus mahu jadi semangat dan contoh kepada seluruh warga negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas tiba dari Norway di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),

Ketibaan mereka ke tanah air disambut Penasihat KE7B merangkap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Misi yang disertai Muhamad Muqharabbin bersama dua ikon sukan lasak negara, Mohd. Irwan Yusoff Abdullah dan Shahrom Abdullah mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara dengan melakukan cabaran meluncur di atas ais.

Mereka berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara pada pukul 5.06 petang pada Khamis lalu (waktu tempatan) atau 11.06 malam (waktu Malaysia).

Mengikut perancangan, Ek­s­pedisi KE7B Kutub Utara 2017 itu melibatkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji (sledge) sejauh 111 kilometer (km) yang memakan masa 11 hari, bermula dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka berjaya menamatkan misi dalam tempoh tujuh hari, iaitu empat hari lebih awal dari jadual yang dirancang.


Facebook Comment