Buaya 3.7 Meter Ditangkap Di Sibuti

MIRI: Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFRC) berjaya menangkap seekor buaya dekat Kampung Rancah Rancah, Sibuti, kira-kira 70 km dari Miri pada Sabtu.

SFC berkata pasukan SWAT menyifatkan buaya jantan sepanjang 12 kaki (3.7 meter) itu sebagai reptilia terbesar pernah ditangkap di bahagian Miri tahun ini.

Pasukan SWAT dihantar ke Sibuti selepas menerima laporan bahawa seekor buaya telah membaham haiwan ternakan penduduk kampung pada Januari, bagaimanapun operasi itu ditangguhkan untuk sementara.

"Hanya dalam operasi kedua pada 27 Feb, pasukan SWAT berjaya menangkap reptilia tersebut," kata SFC dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

SFC menasihat penduduk supaya berwaspada apabila menyusuri sungai dan melaporkan jika melihat kelibat buaya liar kepada Jabatan Perhutanan atau pejabat SFC yang terdekat.



Author:

Facebook Comment