Wanita Disyaki Kebas Telefon Bimbit Di Cekup


KUCHING: Salah seorang wanita yang didakwa melarikan telefon bimbit dari sebuah kedai di Tabuan Jaya berjaya ditangkap kurang daripada 30 jam selepas paparan skrin kamera litar tertutup (CCTV) ditularkan dalam Facebook.

Penganggur berusia 24 tahun itu ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching sekitar jam 2.30 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Sungai Periuk, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, siasatan awal mendapati suspek pernah ditangkap sebanyak tiga kali sebelum ini berhubung kes curi dalam bangunan dan kes penggunaan dadah.

Katanya, saringan awal ujian air kencing ke atasnya turut mendapati wanita tersebut positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

“Suspek mengakui terlibat dalam kes curi telefon bimbit bersama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abang Ahmad berkata, soal siasat akan dijalankan setelah suspek direman bagi menbantu siasatan lanjut.

Dalam insiden sekitar jam 9.30 malam Jumaat lepas, pemilik kedai terbabit, 30, menyedari empat unit telefom bimbit yang dipamerkan dalam rak cermin telah hilang.

“Semakan pada rakaman CCTV mendapati suspek adalah dua wanita dan seorang lelaki yang tidak dikenali,” katanya.

Jumlah kerugian yang dicatatkan apabila telefon bimbit Samsung Galaxy S7, Samsung Galaxy S7 Edge, Samsung Galaxy Note 5 dan Asus Zenfone 3 Max dilarikan oleh kumpulan tersebut sebanyak RM8,105.

“Semasa kejadian hanya pemilik sahaja berada dalam kedai. Rakaman CCTV jelas menunjukkan suspek telah membuka pintu rak dan mencuri.

“Usaha mengesan dua suspek masih diteruskan,” katanya sambil menyatakan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.






Author:

Facebook Comment