Suzzane Capai Keputusan Membanggakan Meskipun Rabun


Suzzane Jelian

KUCHING: Kekurangan yang ada pada diri, iaitu rabun tidak menghalang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Suzzane Jelian mendapat keputusan membanggakan bagi dirinya.

Calon SPM kategori kurang upaya penglihatan itu malahan sebelum ini menyatakan dia belajar dengan tekun demi mencapai matlamatnya mendapatkan sijil SPM.

Suzanne, pelajar SMK Batu Lintang berkata, dia belajar seperti biasa dan mengulang kaji pelajaran sebagai pendekatan sebelum peperiksaan.

“Selain itu saya membaca buku dan akan memberi perhatian semasa dalam kelas bagi memudahkan saya memahami pengajaran.

“Kadang-kadang ada juga belajar secara berkumpulan dan saya tidak menyangka keputusan yang saya dapat hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2016 Peringkat Negeri di Auditorium Pejabat Pendidikan Negeri di sini, semalam.

Suzanne mengakui sebagai seorang pelajar kategori kurang upaya bukan senang untuk bergaul dan belajar bersama pelajar lain.

Jelasnya yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), ada kalangan individu sememangnya memandang rendah keupayaannya dan dia mengambil keputusan belajar sendiri.

“Itu tidak dapat dinafikan kadang-kadang ada yang memandang rendah kepada keupayaan kita dan susah dapat kawan,” katanya yang bercita-cita menjadi kaunselor.

Suzanne yang berasal dari Sibu merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan bapanya bekerja sebagai penyelia ladang sementara ibunya suri rumah.

Suzzane memperoleh Gred B+ dalam dua mata pelajaran, C+ dalam satu mata pelajaran dan Gred D dalam dua mata pelajaran serta Gred E dalam satu mata pelajaran.

Sementara itu seorang pelajar cemerlang mendapat A dalam semua mata pelajaran, Abdul Fayeed Abdul Kadir menyatakan dia tidak menjangkakan mendapat keputusan sedemikian.

Dia yang merupakan pelajar Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Kuching berjaya memperoleh tujuh A+ dan dua A dalam semua mata pelajaran diambilnya.

Katanya dia amat gembira atas keputusan diperolehi itu yang merupakan hasil sokongan dan bantuan daripada guru, ibu bapa serta rakan-rakannya.

“Saya memang tidak sangka akan dapat keputusan ini dan saya sangat gembira kerana dapat mencapai keputusan seperti ini.

“Saya berterima kasih kepada guru, rakan-rakan dan ibu bapa saya atas sokongan mereka selama ini.

“Selepas ini saya merancang untuk mendapatkan biasiswa untuk meneruskan pengajian terutama dalam bidang kejuruteraan kerana saya amat berminat dalam bidang ini,” katanya.

Menceritakan pendekatan belajarnya, Abdul Fayeed berkata dia turut menghadiri kelas tuisyen yang juga banyak memberi latihan sekali gus membantunya.


Author:

Facebook Comment