Pulau Pinang Bukan No 1 Dalam Pelaburan Sejak 5 Tahun Lalu

Tahun lepas 2016 menunjukkan tahun kelima berturut-turut di mana Pulau Pinang bukan nombor satu dalam pelaburan.

Pulau Pinang adalah nombor 4 tahun lepas di mana pelaburan pembuatan menurun 36.1% .- menunjukkan penurunan purata prestasi dalam pelaburan pembuatan sebanyak 21.7%.

Diharapkan DAP tidak lagi mengulangi propaganda "Pulau Pinang teratas dalam pelaburan" kerana Pulau Pinang tidak lagi teratas sejak 2011 - 5 tahun yang lalu.

Tetapi mengenali perangai DAP dan Ketua Menteri, mereka tidak mempunyai perasaan malu dan mungkin akan mengulanginya berkali-kali lagi.

Secara keseluruhan, jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia meningkat 11% kepada RM207.9bil daripada RM186.7bil tahun terdahulu kerana sektor perkhidmatan yang amat besar mempunyai pertumbuhan 23.3% tahun ke tahun manakala sektor komoditi utama lebih daripada dua kali ganda dengan pertumbuhan 116.7% .

----------
Prospek Pelaburan 2017 Malaysia Cerah

Prospek pelaburan Malaysia bagi 2017 kelihatan agak cerah meskipun berdepan banyak risiko luaran dan cabaran, apabila kita mengambil kira apa yang telah dilakukan kerajaan dari segi menyediakan dasar pelaburan dan prasarana yang sesuai dalam ekosistem ekonominya.

Keyakinan dalam berhati-hati juga boleh dilihat daripada ucapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, apabila beliau menyebut hakikat bahawa Malaysia berjaya mengharungi tempoh pergolakan ekonomi paling sukar tahun lepas namun masih tetap berkembang, semasa melancarkan laporan tahunan 2016 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini, hari ini.

Meskipun keadaan pasaran kewangan antarabangsa yang tidak menentu, penurunan harga komoditi, dasar ekonomi yang tidak pasti dan persaingan serantau yang semakin sengit, ekonomi Malaysia berjaya mengatasi segala halangan dan berkembang sebanyak 4.2 peratus pada 2016.

Tahun ini, unjuran pertumbuhan sederhana 4.3 peratus dijangkakan ketika perancang ekonomi bergelut dengan keadaan tidak menentu berterusan daripada pasaran minyak mentah serta kesan daripada langkah Britain keluar dari Kesatuan Eropah (Brexit) dan kemungkinan perubahan dasar oleh pentadbiran baharu Amerika Syarikat.

Bagi ekosistem pelaburan, Malaysia dianggap sebagai satu dari 17 ekonomi yang telah melaksanakan pembaharuan di Asia Timur dan Pasifik untuk menambah baik iklim perniagaan bagi usahawan tempatan dan juga merupakan antara ekonomi yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini dari segi kecekapan dan kualiti peraturan perniagaan.

Meskipun Malaysia telahpun cemerlang dalam melindungi pelabur minoriti, ia juga komited untuk menambah baik lagi semua bidang persekitaran perniagaan.

MIDA memilih tema "Mengukuhkan Momentum Pertumbuhan" bagi laporan tahunan 2016, mencerminkan komitmen agensi itu untuk terus menyokong kemajuan dan pertumbuhan ekonomi. Namun, mesej utama paling ketara daripada ucapan Mustapa adalah: "syarikat tempatan perlu sama ada meningkatkan rantaian nilai atau mempelbagaikan ke bidang perniagaan lain".

Dengan kata lain, mereka tidak boleh kekal seperti sekarang dan menjangka kejayaan akan berterusan.

Mustapa menekankan bahawa syarikat tempatan perlu melabur dalam teknologi automasi atau Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk mengelakkan potensi keuntungan merosot dan ketidakpadanan tenaga kerja.

"Oleh kerana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membentuk kira-kira 97 peratus daripada jumlah syarikat di Malaysia, kerajaan akan terus menyokong syarikat tempatan, termasuk PKS, dengan menyediakan platform bagi menggalakkan kerjasama perniagaan dengan syarikat asing dan syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini. Ini merupakan satu daripada bidang tumpuan utama MITI tahun ini," jelasnya.

MIDA dan Perbadanan Produktiviti Malaysia, kedua-duanya agensi di bawah MITI, sentiasa menekankan bahawa peningkatan produktiviti serta penggunaan meluas automasi akan menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi dan pendapatan di Malaysia pada masa depan.

Ini kerana pemacu pertumbuhan tradisional dijangka menyederhana, dengan pengumpulan modal berdepan persaingan lebih sengit dan pertumbuhan tenaga kerja semakin berkurangan beransur-ansur apabila penduduk Malaysia semakin berusia.

Secara keseluruhannya, Malaysia berjaya menarik sejumlah RM207.9 bilion bagi pelaburan yang diluluskan pada 2016 yang akan membiayai 4,972 projek sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama yang dijangka mewujudkan 156,060 peluang pekerjaan di negara ini.



Dari segi nilai pelaburan yang diluluskan, Johor menjadi penerima terbesar diikuti Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak.

Menurut Mustapa, peningkatan pelaburan ke neger-negeri berkenaan adalah hasil usaha MIDA menjalin kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.

Sumber utama pelaburan asing pada 2016 adalah Amerika Syarikat, Netherlands, China, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom.

Kesemua tujuh negara ini menyumbang sebanyak 55.8 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.

Mengikut laporan tahunan MIDA bagi 2016, pelaburan asing sememangnya berperanan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dan negara ini akan terus mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi terutamanya dalam subsektor pemangkin seperti bahan kimia, elektrikal dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan serta bidang pertumbuhan yang berpotensi tinggi termasuk aeroangkasa, peranti perubatan dan ekonomi digital.

Pendirian MIDA bagi tahun-tahun akan datang adalah untuk memberi penekanan terhadap FDI berkualiti tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan yang baik, memberi sumbangan kepada eksport, membolehkan PKS tempatan mendapat akses kepada pemindahan teknologi yang bernilai serta pertukaran pengetahuan yang penting bagi pembangunan kemampuan mereka serta menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

Bahagian penting dalam pelaburan diluluskan MIDA pada 2016 adalah projek-projek yang berintensifkan modal. Sebanyak 85 projek mencatatkan pelaburan bernilai RM100 juta atau lebih, menjadikan jumlah RM47.6 bilion atau 81.4 peratus daripada pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10 projek melibatkan pelaburan sekurang-kurangnya RM1 bilion dan ke atas. Projek-projek ini terutamanya dalam produk petroleum termasuk petrokimia, produk logam asas, gas asli, produk E&E, pembuatan makanan dan peralatan pengangkutan.

Malah, seperti dinyatakan oleh Mustapa, Malaysia ternyata lebih memilih dalam agenda pelaburannya dengan mengutamakan projek-projek berkualiti dalam sasaran ekosistem yang dapat memberi impak signifikan terhadap keseluruhan ekonomi domestik.

Walaupun berdepan sentimen perlindungan beberapa negara yang semakin ketara, beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal terbuka kepada FDI berkualiti tinggi yang menepati aspirasi untuk muncul sebagai negara maju dan FDI berperanan penting mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan tenaga pekerja mahir serta memacu pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan.

Nisbah pelaburan asing dan domestik juga sejajar dengan aspirasi kerajaan supaya pelaburan domestik dapat memainkan peranan penting sebagai pemacu agenda pelaburan Malaysia, dengan 71.6 peratus (RM148.9 bilion) disumbangkan oleh sumber-sumber domestik manakala baki 28.4 peratus (RM59.0 bilion) dari sumber asing.

Antara fakta menarik yang menunjukkan tarikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan adalah kalangan pelabur asing masih terus memanfaatkan ekosistem perniagaan serba unik negara ini serta sinerginya di peringkat rantau dengan peningkatan FDI sebanyak 63.4 peratus daripada RM36.1 bilion pada 2015.

Dalam sektor pembuatan, Malaysia terus menarik paras pelaburan yang sihat pada 2016 yang berjumlah 733 projek dengan pelaburan diluluskan bernilai RM58.5 bilion berbanding 680 projek pelaburan bernilai RM74.7 bilion pada 2015.

Dengan mengambil kira pelaburan diluluskan pada 2016, projek pembuatan diluluskan antara 2012 hingga 2016 berada pada 3,815, di mana 3,132 telah dilaksanakan. Projek yang dilaksana telah mewujudkan 292,745 pekerjaan.

Walaupun merosot dari segi kewangan pada 2016 berbanding pelaburan pada 2015, perlu dinyatakan peningkatan jumlah pelaburan pada tahun sebelumnya adalah disebabkan dua projek utama diluluskan ketika itu, iaitu projek PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) di Johor dan projek LNG9 di Sarawak yang bernilai RM35.3 bilion.

Projek pembuatan diluluskan pada 2016 dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 64,120 orang. Industri utama yang memerlukan tenaga kerja paling mahir adalah kelengkapan pengangkutan, produk elektrik dan elektronik (E&E), produk logam fabrikasi, jentera dan kelengkapan, produk plastik dan produk galian bukan logam.

Ia termasuk pekerjaan untuk penyelia penyelenggaran loji, pembuat alat dan acuan, jurumesin, kakitangan IT, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.

Sehubungan itu, mulai sekarang kerajaan akan memberi penekanan khusus ke atas meningkatkan mutu modal insan dengan lebih ramai pelajar dihantar untuk pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional.

Mengenai sektor perkhidmatan Malaysia, ia terus berkembang pada 2016 dan menarik 4,199 projek dengan pelaburan diluluskan bernilai RM141.2 bilion. Projek diluluskan terbabit dijangka mewujudkan 88,110 peluang pekerjaan.

Paa asas tahun ke tahun, pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan tahun lepas meningkat 23.3 peratus. Ia diterajui pelaburan domestik dengan RM112.9 bilion, manakala pelaburan asing bernilai RM28.3 bilion.

Walaupun sektor hartanah terus di depan dengan RM64.1 bilion nilai pelaburan diluluskan, subsektor utama dengan aktiviti nilai tambah yang agak tinggi seperti syarikat global, perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan telekomunikasi serta perkhidmatan sokongan juga mencatatkan pertumbuhan yang baik.

Mustapa berkata, Malaysia dalam kedudukan baik untuk menjadi pangkalan operasi serantau dan global untuk syarikat multinasional (MNC). Menyedari hal ini, lebih banyak MNC telah mengguna model Hab Utama (PH) Malaysia yang membolehkan keputusan dibuat lebih cepat serta menyokong pengembangan trend rantaian bekalan.

Pada 2016, MIDA meluluskan 13 projek PH baharu dengan pelaburan RM13.8 bilion yang melibatkan pewujudan 1,980 pekerjaan bernilai tinggi.

Segmen perbankan kekal sebagai penyumbang utama kepada subsektor perkhidmatan kewangan terbesar, diterajui aktiviti perbankan konvensional.

Berhubung dengan pelaburan dalam subsektor teknologi maklumat dan telekomunikasi, 756 projek dengan pelaburan bernilai RM12.4 juta telah diluluskan tahun lepas.

Projek terbabit, terutama dalam 336 syarikat berstatus MSC, akan memerlukan 18,170 pekerja berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.

Pada 2016, projek perkhidmatan sokongan dengan insentif cukai yang diluluskan MIDA meningkat 156.3 peratus kepada RM9.4 bilion. Peningkatan tinggi itu disebabkan banyak pelaburan besar yang diluluskan untuk aktiviti teknologi hijau serta perkhidmatan logistik bersepadu.

Mustapa berkata, sektor perkhidmatan juga membantu dalam mengoptimumkan kecekapan sektor lain di negara ini ketika syarikat global dan perkhidmatan pengurusan rantaian bekalan di semua peringkat semakin pantas menjadi komponen penting dalam ekonomi negara.

Mengenai pelaburan diluluskan dalam sktor utama, ia meningkat 116.7 peratus daripada RM3.8 bilion pada 2015 kepada RM8.2 bilion pada 2016. Ia diterajui subsektor perlombongan dengan pelaburan diluluskan bernilai RM7.6 bilion dalam 19 projek, terutama daripada aktiviti penerokaan minyak dan gas.

Ia diikuti subsektor perladangan dan komoditi dengan pelaburan sebanyak RM542.7 juta dan selebihnya dalam subsektor pertanian.
--BERNAMA


Author:

Facebook Comment