Lori Bawa Anak Sawit Terbabas, Pemandu Maut Di Sarikei




SARIKEI: Seorang lelaki maut selepas lori membawa muatan anak sawit yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Sarikei- Sibu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa berusia 30-an yang belum dikenal pasti identitinya itu terbunuh akibat cedera parah tersepit di tempat duduk.

Jurucakap bomba berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei diketuai Abang Joharie Abang Senawi bergegas ke tempat kejadian untuk operasi mengeluarkan mangsa tersepit sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 8.54 pagi.

Katanya, tiba di lokasi kejadian, sebuah lori membawa muatan anak kelapa sawit dipandu seorang lelaki didapati terbabas dan terbalik di sebelah kiri jalan.

"Lori tersebut kemudian dapat ditarik ke atas jalan raya dengan menggunakan kren milik syarikat Cahya Mata Berhad (CMS) bagi memudahkan bomba mengeluarkan mangsa.

 "Namun, pemandu terbabit disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak ambulans di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini

Author:

Facebook Comment