Kubur Isteri Tuai Rumah Diceroboh Di Ulu Nunuk

DICEROBOH: Kesan berlubang yang dipercayai angkara penyamun ‘baya’ di tanah perkuburan Ulu Nunuk Sungai Arip, Balingian.
 
SIBU: Kubur milik isteri seorang tuai rumah antara tiga kubur menjadi sasaran terbaharu penyamun tanah perkuburan di Ulu Nunuk, Sungai Arip, Balingian.

Aktiviti tidak bermoral itu disedari Tuai Rumah Chali Andoh,67, semasa dia bersama ahli keluarganya menziarahi kubur isterinya pada jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata satu laporan polis berhubung insiden tersebut telah dilaporkan oleh pengadu petang semalam.

Bertindak daripada maklumat, pihak IPD Mukah pergi ke tanah perkuburan tersebut untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan polis mendapati tiga kubur di Ulu Nunuk, Sungai Arip telah terjejas dan terdapat kesan berlubang di ketiga-tiga kubur itu dipercayai telah dikorek oleh pencuri ‘baya’ atau barang si mati,” kata Jimmy.

Beliau memberitahu bahawa mendiang isteri pengadu meninggal dunia pada Ogos 2015.

“Kali terakhir pengadu menziarahi kubur mendiang isterinya tiga minggu lepas,” tambahnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang penganggur telah dicekup oleh polis kerana memiliki dadah.

Hasil maklumat awam, polis telah menahan suspek berumur 33 tahun berhampiran sebuah bank di bandar Mukah pada jam 3 petang Khamis lalu.

Semasa pemeriksaan badan, polis mendapati suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 0.10 gram.

Menurut Jimmy suspek telah dibawa ke balai dan didapati positif dadah selepas menjalani saringan air kencing.

“Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya sambil menambah, suspek direman selama empat hari sehingga Isnin depan (20 Mac).




Author:

Facebook Comment