Buaya Betina Ditangkap Di Sungai Undey, Pusa

KUCHING: Seekor buaya betina berukuran 2.27 meter berjaya ditangkap Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam operasi penakaian dan pemindahan buaya di Sungai Undey, Pusa kelmarin.

Operasi melibatkan unit Swift Wildlife Action Team (SWAT) SFC itu dilancar berikutan serangan haiwan pemangsa itu yang telah mengorbankan Besimillah Rajali, 46, minggu lepas.

“Unit SWAT SFC daripada ibu pejabat dan Pejabat Wilayah Sibu telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan operasi telah dimulakan pada 16 Mac lepas.

“Sepanjang lapan hari operasi dijalankan, seekor buaya betina berukuran 2.27 meter telah berjaya ditakai pada Jumaat lalu, dua hari selepas operasi bermula,” ujar SFC dalam kenyataannya semalam.

“Tujuh cangkuk berserta umpan telah dipasang dalam lingkungan tiga kilometer di sepanjang sungai itu menuju ke muara sungai.”

Buaya betina yang telah ditakai pada Jumaat lalu ditangkap kira-kira 100 meter dari lokasi serangan.

“Unit SWAT akan meneruskan pemerhatian di kawasan tersebut dan buaya yang dianggap boleh mendatangkan bahaya akan ditakai dan dipindahkan keluar daripada sungai itu,” ujar kenyataan itu lagi.



Author:

Facebook Comment