BN tidak akan bentang RUU 355 - Najib


Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung di Menara Dato' Onn di sini, yang bermula kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Presiden BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu selaras dengan amalan BN yang akan membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.

Sehuhungan itu, katanya, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"RUU ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan kami menyerahkan sepenuhnya kepada speaker untuk menentukan (bila dibentangkan), bergantung pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

"Jika speaker putuskan untuk membenarkan RUU 355  dibentang, maka ia akan dibentangkan dan speaker juga akan memutuskan peraturan mengenai (pembentangan) RUU itu.

"Kita tidak akan bentang dan tentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU 355 ini adalah rang undang-undang persendirian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, di sini.

Pada 18 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan membentangkan RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini sebagai usaha untuk memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.

Facebook Comment