USTAZAH MAUT LEMAS DALAM KEMALANGAN KERETA DI BULATAN KAMPONG SENAU, OYA



MUKAH: Seorang ustazah sebuah sekolah menengah di sini maut dalam kemalangan kendiri melibatkan tujuh beranak berdekatan bulatan Kampung Senau, Oya di sini kelmarin.

Menurut sumber, keluarga terbabit baharu pulang dari sebuah sekolah menengah agama di Igan selepas menghantar anak sulung mereka balik ke asrama.

Bagaimanapun, menurut Bomba dan Penyelamat Mukah, kereta yang dipandu suami mangsa dipercayai tiba-tiba berada dalam keadaan ‘auto-lock’ dan terbabas serta terbalik dalam longkang berair di sebelah kiri Jalan Igan-Oya menuju ke Mukah.

Kesemua tujuh mangsa dikeluarkan dari kereta oleh orang awam dan penduduk kampung berdekatan, namun mangsa, Hamisiah Razak, 41, disahkan meninggal dunia di Hospital Mukah pada jam 8.07 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dalat DSP Awang Arfian Awang Bujang mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah, PPgB Bonny Martin memberitahu pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk memastikan tiada lagi mangsa terperangkap dalam kenderaan.

“Kita datang membuat pemantauan di lokasi dan memastikan tiada lagi mangsa terperangkap,” katanya.

Pemandu, Ustaz Jailani Awang, 43, iaitu suami mangsa yang berkhidmat di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Mukah mengalami cedera ringan dalam kemalangan itu.

Empat lagi mangsa yang cedera ialah Ahmad Syarthib Jailani, 11, Ahmad Al-Alusi Jailani, 10, Ahmad Zarkisyi Jailani, 8, Atharid Zainur Jailani, 6, dan Ahmad Akashah Jailani, 1.

Mangsa berusia setahun dikatakan sudah dalam keadaan stabil selepas kritikal sejak petang kelmarin dan turut dirujuk ke Hospital Sibu.

Author:

Facebook Comment