Senjata pemusnah diharamkan PBB dikesan atas mayat Jong Nam


Ujian ke atas mayat Kim Jong Nam yang dipercayai diserang 2 wanita pada 13 Feb mendapati kehadiran sejenis bahan kimia yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD), menurut polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan awal dari Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia dikenalpasti sebagai “VX nerve agent” di bahagian luaran mata dan muka Jong Nam, abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un.

Menurutnya, setelah menerima laporan awal Jabatan Kimia Malaysia, bahan kimia yang digunakan dikenalpasti sebagai “VX nerve agent”.

“Hasil analisa, telah dikenal pasti bahawa yang terlibat ialah Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate atau VX nerve agent,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, analisa dilakukan Pusat Analisis Senjata Kimia di bawah jabatan itu.

Khalid menambah, VX nerve agent disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005, dan juga Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

Pada 13 Feb, Jong Nam berada di lapangan terbang tambang murah klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau, apabila secara tiba-tiba seorang wanita menutup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Jong Nam dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Korea Utara bagaimanapun bertegas lelaki itu bernama Kim Chol seperti mana dalam pasportnya.

Kejadian itu mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang mahu mayat Jong Nam dikembalikan tanpa bedah siasat.


Siasatan polis Malaysia setakat ini mendapati Jong Nam diracuni, dan ramai percaya ia merupakan angkara pembunuh diupah regim Pyongyang yang selama ini tidak menyenangi Jong Nam.




Author:

Facebook Comment