Komunikasi Media Sosial Paling Berkesan - Zahid Hamidi



NILAI: Kerajaan menyedari komunikasi tanpa lisan terutama melalui media sosial paling berkesan pada zaman kini dalam mempengaruhi pemikiran golongan muda.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, media sosial turut digunakan pengganas untuk menyebarkan dakyah dan merekrut ahli.

“Kita tahu bahawa golongan ini merekrut ekstremis melalui komunikasi tanpa lisan iaitu media sosial. Seramai 157 rakyat Malaysia berada di negara bergolak terutama Iraq manakala 37 orang sudah gugur.

“Begitulah situasinya, media sosial dijadikan tempat mencari dan mengeksport pengganas,” katanya pada Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) Perspektif Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 penuntut Islam universiti awam dan swasta.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Majlis dialog itu adalah kesinambungan kepada TN50 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Universiti Malaya, 19 Januari lalu.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa meletakkan komitmen tinggi dalam aspek keselamatan negara dan mengekang kewujudan pengganas atau militan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di suatu garis yang lebih berbanding kemampuan pengganas melakukan kerosakan.

“Sebanyak 87.5 peratus rakyat Malaysia yang menyertai pengganas berjaya dipulihkan. Kejayaan itu meletakkan negara kita di hadapan dalam usaha berkenaan,” katanya.


Author:

Facebook Comment