UCAPAN PERDANA MENTERI MENGENAI PENINGKATAN PENDAPATAN UNTUK MENGATASI MASALAH KOS SARA HIDUP



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Kos sara hidup sering menjadi isu yang hangat diperbincangkan bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia berikutan kelembapan ekonomi global yang sedang melanda.

Kerajaan telah sekian lama memperkenalkan dua cara untuk mengatasi masalah kos sara hidup iaitu dengan mempertingkatkan pendapatan dan mengurangkan kos barangan.

Walaupun Kerajaan telah memberikan subsidi dan melaksanakan penurunan harga barang keperluan asas, namun, apa yang lebih penting adalah meningkatkan pendapatan kerana taraf hidup yang lebih baik terjamin buat jangka masa panjang.

Untuk meningkatkan pendapatan, Kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan memperolehi dana perniagaan. Sebagai contoh, program-program seperti TEKUN, MARA, TERAJU, SUPERB, Program Penjaja 1Malaysia, Tabung Ekonomi Belia, Program Peningkatan Pendapatan dan banyak lagi.

Kerajaan juga telah bantu mendapatkan peluang pekerjaan seperti mewujudkan Skim Latihan 1Malaysia, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, 1Azam dan sebagainya.

Dalam Malaysia sedang menuju ke arah negara maju, kita mesti memikirkan cara untuk menambahkan pendapatan, bukan bergantung sepenuhnya kepada campur tangan Kerajaan mengawal pasaran.

Kerajaan akan terus bantu dalam pelbagai cara, namun pada masa yang sama, kita hendaklah berusaha untuk menambah pendapatan dan mengasah kemahiran yang ada.

Akhir kata, bak kata peribahasa Melayu, yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih, tak akan datang melayang. Maksudnya, jika kita inginkan sesuatu, kita kenalah berusaha kerana rezeki tidak datang bergolek.

Oleh itu, bangkit dan berusahalah ke arah mempertingkatkan prestasi diri sendiri.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



https://www.najibrazak.com/bm/audio-gallery/ucapan-perdana-menteri-mengenai-peningkatan-pendapatan-untuk-mengatasi-masalah-kos-sara-hidup/

Author:

Facebook Comment