TENTERA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP KENDERAAN KE KALIMANTAN DI KAMPUNG KANDAIE, BIAWAK



LUNDU: Seorang warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup keluar kereta curi melalui sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, malam tadi.

Suspek ditahan sepasukan anggota tentera dari Batalion 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) yang menjalankan pemantauan di simpang Kampung Kandaie, di Biawak.

Jurucakap Markas 1Divisyen Infantri, Tentera Darat Malaysia berkata, seorang lelaki dari Kampung Biawak datang ke Pos Gabungan Malaysia-Indonesia di Biawak kira-kira jam 7 malam tadi dan melaporkan kehilangan kereta jenis Toyota Unser milik adiknya.

Kereta berkenaan dilaporkan hilang di Sematan petang semalam dan lelaki terbabit meminta bantuan anggota tentera untuk mengesannya.

Bertindak atas laporan itu, tiga anggota sub unit Kompeni Bravo, 13 RAMD diarah melakukan pemantauan di laluan ke sempadan.

Pada kira-kira jam 7.30 malam, tiga anggota mengesan kereta terbabit dinaiki dua lelaki di simpang Kampung Kendaie, Biawak yang menjadi laluan utama ke sempadan.

"Anggota tentera menahan kereta berkenaan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun, manakala seorang lagi melarikan diri.

"Suspek diserahkan kepada anggota polis Lundu yang tiba di lokasi pada jam 8.30 malam," katanya.

Author:

Facebook Comment