SEORANG MAUT, SEORANG CEDERA KENDERAAN TERBABAS DAN TERBAKAR DI TAPANG PUNGGU, SRI AMAN


SRI AMAN:  Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kereta pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Tapang Punggu, Kilometer 43, Jalan Sri Aman-Kuching dekat sini, kira-kira jam 6 pagi semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak ASP Mathew Mangie berkata, siasatan awal mendapati kereta itu yang menghala ke Kuching dari Sri Aman dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dapat dikenal pasti.

“Kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa kemudian terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke dalam parit sebelum terbakar selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mangsa, Wong Liang Sie, 50, tidak dapat diselamatkan dan terbakar apabila tersepit di bahagian tempat duduk penumpang depan.

Manakala pemandu yang berusia 64 tahun yang cedera dapat diselamatkan penduduk kampung, sebelum dihantar ke Hospital Sri Aman menggunakan ambulans bagi menerima rawatan.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman seramai lapan orang diketuai Jilin Itar turut ke lokasi yang terletak tidak jauh dari Bukit Begunan bagi membuat pemadaman serta mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Sri Aman.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author:

Facebook Comment